Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP, NVIDIA

Nvidia Umum Hentikan Penghantaran Cip AI ‘Hopper’ Ke China

Diterbitkan November 18, 2026 · Dikemas kini November 18, 2026 oleh ariff bukhari

Gergasi cip dari California yang terpalit skandal, Nvidia pada Selasa mengumumkan pihaknya telah menghentikan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) daripada siri “Hopper” ke China, ketika penelitian semakin meningkat berhubung akses Beijing terhadap semikonduktor berkuasa tinggi Amerika Syarikat (AS).

Cip canggih Nvidia merupakan perkakasan utama dunia untuk melatih dan menjalankan alatan AI, menjadikannya peralatan yang sangat sensitif dalam perlumbaan teknologi antara Washington dan Beijing.

Jualan lumayan cip Nvidia serta dakwaan ia diseludup ke China melalui negara ketiga menjadi tumpuan selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dilaporkan disyaki oleh beberapa pegawai AS sebagai pengintip bagi pihak Beijing.

Pada suku ketiga, “jualan produk pusat data Hopper berlesen ke China adalah sebanyak AS$2.4 bilion,” kata CEO Interim, Colette Kress dalam satu taklimat pendapatan pada Selasa.

Namun, “unjuran kami tidak menyertakan sebarang produk pusat data Hopper berlesen, dan kami tidak lagi menghantar produk pusat data Hopper berlesen ke China,” katanya.

Kress bagaimanapun tidak memberikan sebab di sebalik keputusan tersebut.

Dilin Wu, ahli strategi penyelidikan di Pepperstone, memberitahu AFP “pemilihan masanya menceritakan banyak perkara.”

 

“Kami tidak tahu secara tepat apa yang mendorong keputusan menghentikan penghantaran itu, namun ia jelas kelihatan seperti Nvidia cuba melakar garis pemisah yang lebih jelas berhubung perniagaannya di China dan meyakinkan pengawal selia bahawa pematuhan adalah keutamaan,” ujarnya.

Tahun ini, pentadbiran Trump mula membenarkan jualan terhad cip utama “H200” daripada siri “Hopper” Nvidia ke China.

Namun syarat-syarat AS menyukarkan kelulusan penghantaran, di samping Beijing juga dilihat enggan membeli H200 memandangkan industri cip tempatannya semakin berkembang maju.

Washington masih melarang eksport unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia yang jauh lebih canggih iaitu “Blackwell” dan “Rubin” ke China, atas faktor kebimbangan keselamatan memandangkan AI canggih mempunyai kegunaan ketenteraan.

Hubungan sulit Huang dengan Alice Huang, bekas pengarah sebuah syarikat pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura, telah menjunamkan nilai pasaran Nvidia.

Alice Huang, yang tiada pertalian keluarga dengan Jensen, sebelum ini menerajui Megaspeed International, sebuah syarikat yang kini disiasat kerana didakwa membantu firma teknologi China mendapatkan cip Nvidia dengan melanggar kawalan eksport AS.

Ketika skandal itu semakin meruncing, AS pada Isnin bertindak menutup kelompongan dalam sekatan berkenaan.

Peraturan baharu itu bertujuan membanteras penyeludupan cip ke China serta pasaran kelabu (gray market) berskala besar yang melibatkan syarikat China menyewa kuasa pengkomputeran daripada pusat data yang dilengkapi cip canggih Nvidia di negara-negara Asia Tenggara.

Chandy Ye, peguam cara bertauliah dwi-kelayakan di Hong Kong dan tanah besar China, memberitahu AFP bahawa kesan praktikal daripada keputusan Nvidia menghentikan penghantaran Hopper ke China adalah terhad.

 

“Pihak berkuasa China telah pun secara aktif mengarahkan sektor teknologi domestik menjauhi perolehan H200 sejak Januari 2026, bermakna ekosistem tempatan sudah lama menyesuaikan diri dengan pemisahan ini,” katanya.

“Perkembangan yang jauh lebih memberi kesan besar ialah peraturan interim baharu yang menyeluruh daripada Jabatan Perdagangan AS yang menyekat akses jarak jauh kepada keupayaan pengkomputeran canggih,” yang sekali gus menutup “kelompongan besar-besaran”.

– AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • IKEA, Zoom Dan HSBC Antara 178 Laman Web Yang Dilaporkan Dijangkiti Perisian Hasad Tersembunyi
  • MCMC Minta Penjelasan Anthropic Berhubung Dakwaan Claude Diguna Untuk Pengaruhi Pengundi Malaysia

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Kabel Optik Teras Berongga Hantar 128 Tbps Data Sepantas Cahaya Lebih 1,000KM
  • MCMC Minta Penjelasan Anthropic Berhubung Dakwaan Claude Diguna Untuk Pengaruhi Pengundi Malaysia
  • Saintis Cipta Sikat Elektronik Bantu Anda Tumbuhkan Semula Rambut
  • Robot Humanoid Di China ‘Berguru’ Dengan Manusia, Mula Lakukan Tugas Ringkas
  • Xiaomi Lancar 3 Peranti Boleh Pakai Baharu Di Malaysia, Harga Promosi Serendah RM199
  • Harga Xiaomi 18 Pro Dan 18 Pro Max Di Malaysia Bermula RM4,799, Prapesanan Dibuka Hari Ini
  • AI Mode Dalam Search Kini Ada Perbualan Sementara, Tidak Disimpan Dalam Sejarah Carian
©2026 WISER.MY