Instagram secara rasmi melancarkan Edits untuk Mac, versi desktop pertama bagi aplikasi suntingan video tersebut yang sebelum ini hanya tersedia di iOS dan Android. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma, namun hanya menyokong Mac dengan cip Apple silicon M1 dan ke atas.
Menurut Ketua Instagram, Adam Mosseri, versi desktop merupakan permintaan paling kerap dalam kalangan pengguna Edits. Lebih 50 juta orang telah menggunakan aplikasi tersebut sejak ia dilancarkan tahun lalu.
Edits untuk Mac menawarkan timeline berbilang trek, keyframe untuk transisi dan paparan audio waveform bagi memudahkan potongan mengikut rentak muzik. Ia juga dilengkapi alat color grading seperti color wheels dan curves.

Pengguna boleh mengimport LUT dan fon sendiri, menggunakan pintasan papan kekunci serta menjana kapsyen automatik tanpa had.

Seperti versi mudah alih, aplikasi ini memberikan akses kepada perpustakaan audio berlesen Instagram serta ratusan kesan bunyi dan video. Video boleh dieksport sehingga resolusi 4K tanpa tera air (watermark) dalam format menegak atau melintang. Pengguna juga boleh menerbitkannya terus ke Instagram, lengkap dengan fungsi tag, lokasi dan trial reels.
Selain itu, Edits untuk Mac menyokong Model Context Protocol (MCP), yang boleh diaktifkan melalui tetapan. Ciri ini membolehkan pencipta kandungan menyambungkan AI agent untuk menghasilkan suntingan kasar sebelum diperhalusi secara manual dalam Edits.
Pengguna perlu log masuk menggunakan akaun Instagram untuk menggunakan aplikasi ini. Gaya audio dan teks yang disimpan pada aplikasi mudah alih turut tersedia pada versi desktop.
Bagaimanapun, fungsi menyunting satu projek yang sama merentas telefon dan Mac masih belum tersedia. Instagram berkata ciri tersebut sedang dibangunkan, dan aplikasi desktop akan menerima kemas kini setiap minggu.
Setakat ini, Edits untuk desktop belum ditawarkan untuk Windows. Edits untuk Mac boleh dimuat turun melalui laman rasmi Edits for Desktop.
