Dua Perkara Menarik Yang Ada Pada Samsung Galaxy A73 5G

Ketika diperkenalkan, ramai yang mempertikai siri Galaxy A Samsung dijual pada tanda harga yang agak tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi siri ini berada dalam kelas pertengahan.

Seperti yang berada di tangan saya, Galaxy A73 5G lagilah dipersoalkan harganya. Ini kerana RM2099 sebenarnya sudah boleh memiliki beberapa peranti andalan daripada jenama lain misalnya dari Xiaomi dan realme.

Namun begitu, terdapat dua perkara yang menarik perhatian saya sepanjang hampir sebulan menggunakan Samsung Galaxy A73 5G.

Tak Banyak Guna Cip Ni


Samsung Galaxy A73 5G menampilkan cip pemprosesan Snapdragon 778G. Pada ulasan saya sebelum ini, saya telah menjelaskan bahawa cip ini cukup berkuasa untuk kelas pertengahan.

Bukanlah saya mengatakan cip andalan akan kalah tetapi prestasi cip tersebut cukup memuaskan. Tambahan lagi, tidak banyak pun telefon pintar berkelas pertengahan yang dijana cip Snapdragon 778G. Mudah kata, boleh kira dengan jari.

Saya beranggapan yang pengeluar telefon pintar jarang menggunakan cip ini kerana ia meningkatkan kos penghasilan. Ya lah, prestasi yang baik memang dipadankan harga "menarik".

Apa yang pasti, cip ini menjanjikan prestasi cemerlang pada tanda harga lebih mampu milik.

Kamera Paling Besar Yang Samsung Pernah Beri


Sabar, Samsung memang sudah pun menawarakan kamera beresolusi yang besar pada telefon pintarnya tetapi ia terhad pada model andalan sahaja.

Kali ini, Samsung berjaya membawa masuk 108MP pada model paling premium dalam siri Galaxy A, iaitu A73. Kalau ada yang sudah "khatam" ulasan saya sebelum ini, penawaran kamera A73 ini tidak memenuhi jangkaan saya.

Ada beberapa kekurangan yang wujud seperti gambar malam kurang memberangsangkan. Walau bagaimanapun, hasil gambarnya bukanlah teruk kerana pengguna sudah boleh menjangkakan kualiti kamera daripada Samsung.

Sebenarnya, ada lagi perkara yang saya gemar terhadap Galaxy A73 ini seperti skrin dan sokongan perisiannya. Pun begitu, kesemuanya telah saya lontarkan dalam ulasan terdahulu.

Di sini, saya cuma mengetengahkan perkara yang menarik sahaja sekiranya ada dalam kalangan anda yang mahukan peranti ini. Nanti, tidak semuanya indah kerana A73 pun ada kekurangan lain yang saya merasakan kenapa Samsung berbuat begitu. Anda boleh rujuk artikel INI dan INI.

Apa-apa pun, saya boleh simpulkan bahawa Galaxy A73 ini masih lagi sebuah peranti yang baik. Malah, bagi saya, ia jauh lebih berbaloi berbanding iPhone SE Gen-3 untuk tahun 2022 di mana tanda harga mereka sama.

Baca juga: