Seperti yang diketahui, siri Samsung Galaxy A merupakan telefon berkelas pertengahan yang popular oleh mereka. Tampil dengan rekaan menarik, prestasi agak baik dan mempunyai tiga pilihan model.
Pun begitu, model-model Samsung ini dijual pada tanda harga agak tinggi berbanding pesaingnya. Namun, peminatnya tetap ada.
Pada artikel lepas, saya telah berkongsikan persamaan dan perbezaan bagi siri Galaxy A paling premium, iaitu A72 dan A73. Walaupun tidak banyak perubahan tetapi sebenarnya ada beberapa peningkatan yang berjaya dilakukan Samsung.
Skrin Cantik Dalam Kelasnya
Bila bercakap tentang skrin di telefon pintar lebih-lebih lagi Samsung, tidak banyak yang saya boleh pertikaikan kerana paparan dari Samsung pada pandangan saya, ia adalah antara terbaik yang wujud dalam telefon pintar.
Untuk A73, ia menggunakan paparan sama seperti A72 tetapi bezanya adalah kadar segar semula lebih tinggi, iaitu 120Hz. Sepanjang penggunaan, saya berpuas hati dengan pengalaman ketika menggunakan peranti ini.
120Hz sememangnya memberi satu kepuasan biarpun anda naik sedikit daripada 90Hz. Selain itu, paparan visual, warna yang ‘dipersembahkan’ juga lebih baik berbanding A72.
Perlu diingatkan, A73 ini tidak didatangkan dengan screen protector. Jadi, perlu berhati-hati dan terus memasang tempered glass. Namun, skrinnya masih lagi tahan lasak dan sukar untuk calar jika menggunakannya secara berhemat.
Walau bagaimanapun, tidak semuanya indah. Apa yang saya perasan terhadap skrin A73 ini, kecerahannya tidak begitu terang. Ketika menggunakan di bawah terik matahari, sukar untuk saya lihat secara terus.
Oleh itu, saya perlu berlindung di bawah kawasan berbumbung untuk melihat skrin dengan lebih jelas. Tambahan lagi, pengimbas cap jari dalam skrin ini bukanlah ultrasonic. Maknanya, tak berapa pantas semasa mahu nyahkunci peranti.
Pun begitu, saya merasakan tidak menjadi masalah kerana teknologi sebegitu hanya ditawarkan dalam telefon berkelas andalan (flagship) Samsung sahaja.
Bercakap tentang pengimbas cap jari, saya terasa yang kedudukan untuk mengimbasnya agak janggal atau tidak semula jadi. Ini kerana saya terpaksa meletakkan jari sedikit bawah menghampiri dagu peranti. Bukannya selari dengan tangan kita apabila menggenggam.
Akhir sekali, saya perasan ramai yang “sakit mata” dengan dahi serta dagu pada A73. Benar, saya pun berpendapat yang sama. Sekiranya Samsung mengecilkan sedikit lagi bezelnya, pasti lebih baik.
Telefon Paling ‘Power’ Dalam Adik Beradiknya
Uniknya telefon pintar berkelas pertengahan ini adalah cip pemprosesannya. Mengapa? Sebab ia menawarkan banyak pilihan untuk pengguna.
Buat masa sekarang, Snapdragon 778G merupakan cip terpantas yang boleh didapati dalam sebuah peranti ‘mid-range’. Benar, dahulu kita ada 780G tetapi ia sudah tiada. Kita juga mempunyai 778G+. Namun, peranti mana yang guna? Anda sendiri susah mahu menamakannya.
Oleh itu, Snapdragon 778G yang menjadi pilihan pengguna terutama bagi mereka yang mahukan prestasi cemerlang pada harga mesra poket.
Galaxy A73 ini pun sama. Ia dilengkapi cip yang paling baik untuk kelas ini. Sepanjang penggunaan, saya tidak menghadapi apa-apa masalah untuk menjalankan sebarang aplikasi. Malah, One UI versi 4.1 pun memang lancar.
Bagi gaming pula, permainan Apex Legends Mobile boleh memainkan tetapan grafik extreme HD dan kadar bingkai ultra tanpa sebarang masalah. Suhu kita memainkannya pun, tidaklah panas dan tidak begitu sejuk. Ia terasa suam-suam kuku.
Disebabkan ini juga, saya hanya meletakkan fungsi RAM Plus pada 4GB sahaja. Bukan 8GB. Namun, apa yang saya perasan adalah perbezaan prestasinya tidak terasa sangat sama ada 4GB atau 8GB dalam fungsi “tambah” memori menerusi RAM Plus ini.
Dari segi ketahanan bateri, A73 boleh digunakan dalam tempoh seharian. Bateri sebesar ini memang cukup puas dan jika digunakan biasa-biasa, memang boleh tahan sehingga 2 hari.
Kekurangan utama bagi peranti ini adalah tempoh mengecas tidak begitu pantas. Saya memerlukan kira-kira 1 jam 5 minit untuk mengecas penuh dari ~20%. Perlu ditekankan sekali lagi, Galaxy A73 tidak diberi pengecas. Oleh itu, terpaksa guna pengecas sedia ada di rumah.
Perbezaan prestasi A73 dan iPhone SE Gen-3, masing-masing dijual pada tanda harga RM2099.
Naik Taraf Kamera Yang Tak Begitu Menjadi
Dalam artikel saya sebelum ini, saya membuat perbandingan yang mana naik taraf utama dalam Galaxy A73 adalah cip pemprosesan dan kamera utamanya.
Kamera pada A73 ini menawarkan sensor kamera beresolusi 108MP berbanding 64MP yang wujud pada A72 tahun lalu. Namun, berjayakah Samsung?
Setelah saya godek-godek serta bermain-main dengan kameranya, saya mendapati Samsung hampir berjaya tetapi kurang menjadi.
Gambar siangnya tetap kelihatan baik dengan warna yang lebih berseri dan tetap memberikan ketajaman dalam foto yang diambil. Disebabkan cuaca Malaysia yang kerap hujan dalam bulan ini dengan awan mendung berarak, saya perasan gambar dalam keadaan sebegini tidak begitu memuaskan.
Hasil yang saya lihat, gambar yang diambil dalam cuaca mendung tidak begitu tajam dan agak gelap. Jangan salah faham, mendung yang saya maksudkan ini bukanlah sewaktu hujan mahu turun.
Apa yang saya maksudkan adalah ia berada dalam situasi matahari kurang kelihatan biarpun waktu puncak di tengah hari. Bagaimanapun, seperti yang saya nyatakan, gambar ketika cuaca baik tetap cemerlang.
Lensa telefoto hilang, beri kesan ke?
Benar, kehilangan lensa telefoto pada A73 ini memang memberikan sedikit kesan. Untuk A72 terdahulu, gambar yang diambil menggunakan lensa telefoto jauh lebih tajam dan jelas. Tapi saya faham, mungkin ada yang merasakan tidak ada masalah pun terhadap kamera ini kerana bukan selalu guna.
Selain itu, gambar pada waktu malam pun tidak begitu baik. Terdapat hingar (noise) yang wujud walaupun sudah diaktifkan mod malam (night mode). Dengan tanda harga sebegini, sepatutnya ia tidak patut berlaku.
Swafoto? Potret?
Samsung selamat. Ini kerana gambar potret yang dihasilkan masih lagi menawan. Walaupun bukanlah terbaik tetapi ia masih lagi berkualiti dan tidak menampakkan tona kulit anda atau subjek terlalu fake.
Bagi swafoto pula pun sama, kedua-dua mod foto atau mod potret mampu menghasilkan gambar seperti mana yang saya dambakan. Saya tidak perlu risau jika mahu memuat naik di media sosial.
Berbaloi Atau Tidak Angkat Galaxy A73?
Secara jujurnya, saya sedikit kecewa dengan Galaxy A73 ini. Ia tidak memberikan peningkatan ketara berbanding Galaxy A72. Betul, cip A73 ini memang pantas untuk kelasnya.
Akan tetapi, ada satu model yang bernama Galaxy A52s yang dilengkapi cip sama – Snapdragon 778G. Harga bagi peranti ini jauh lebih murah, iaitu sekitar ~RM1600 (semasa artikel ini ditulis).
Nanti, jangan terburu-buru membuat kesimpulan. Kelebihan yang ada pada Galaxy A73 ini sudah semestinya sokongan kemas kini sehingga 4 tahun (Android) dan 5 tahun (keselamatan). Bermakna, telefon ini boleh dinaiktaraf sehingga Android 16.
Malah, apa yang saya boleh katakan di sini, Samsung Galaxy A73 5G merupakan antara peranti berkelas andalan premium terbaik yang anda boleh dapatkan buat masa sekarang. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mahukan pengalaman pengguna peranti Android yang lebih lancar.
Walau apa pun, pilihan masih ditangan anda. Nilai RM2099 menawarkan banyak pilihan peranti. Boleh dapatkan peranti andalan (flagship) seperti realme atau Xiaomi. Bahkan, iPhone SE Gen-3 pun ada jika anda tidak kisah akan rekaan lapuk itu.
Baca juga: