Pertengahan Mac lepas, Samsung melancarkan salah satu siri popular mereka – A33, A53 dan A73. Dalam keluarga terbaru ini, Galaxy A73 merupakan model yang paling premium. Ia bukan sahaja berkuasa dalam prestasi tetapi juga dari segi fotografi.
Premium dan berkuasa tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketengahkan kerana harga A73 ini sudah meningkat berbanding A72. Namun, harga yang dinaikkan itu telah ‘mengorbankan’ beberapa aspek.
Nak tahu apakah aspek tersebut? Teruskan membaca.
Cip ‘Power’ Untuk Kelas Pertengahan
Perbezaan ketara dalam A73 berbanding A72 sudah semestinya cip pemprosesan. Galaxy A73 menampilkan cip Snapdragon 778G. Sementara Galaxy A72 pula menggunakan Snapdragon 732G.
Melihat padanya, memang ia memberikan peningkatan prestasi amat ketara berbanding pendahulunya. Bukan sahaja berkuasa tetapi pada masa sama cekap tenaga.
Berdasarkan pengalaman penggunaan saya setakat ini, A73 memang tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjalankan aplikasi. Dengan sistem operasi One UI 4.1 berasaskan Android 12, ia cukup lancar.
Skrin Nampak Sama Tapi Lebih ‘Smooth Like Butter’
Galaxy A73 dan Galaxy A72 berkongsikan saiz skrin sama, iaitu 6.7 inci dengan paparan Infinity-O beresolusi FHD+ serta panel Super AMOLED.
Namun, perubahan ketara adalah kadar segar semula 120Hz pada A73 berbanding 90Hz sahaja dalam A72.
Bagi yang sudah merasakan 90Hz sudah cukup lancar, 120Hz jauh lebih lancar. Saya cuba menggunakan kedua-duanya serentak, perbezaan mudah sangat dilihat.
Selain itu, dari segi visual warna yang dihasilkan, saya dapati ia hampir sama cumanya A73 jauh lebih cantik.
Maknanya di sini, Samsung Galaxy A73 mempunyai dua kelebihan berbanding Galaxy A72. Nampak kecil tapi gandingan cip dan paparan ini boleh dikatakan penting juga bagi seseorang.
Kamera Sama Tapi Ada Yang Hilang
Selain cip pemprosesan dan skrin yang dinaik taraf, kamera utama A73 ini turut menerima peningkatan amat ketara. Ia hadir dengan 108MP utama, 12MP ultra lebar, 5MP makro dan 5MP depth.
Manakala A72 pula 64MP utama, 8MP telefoto, 12MP ultra lebar dan 5MP makro. Biarpun kamera A73 sudah dinaik taraf lebih besar tetapi ia terpaksa mengorbankan lensa telefoto.
Bagi saya, kehilangan lensa telefoto ini merupakan satu kerugian bagi siri A paling premium ini. Mudah kata, upgrade dan pada masa sama downgrade.
Dari Jauh Nampak Serupa Tapi Ada Beza
Dalamannya sudah berbeza tetapi luarannya serupa sahaja. Sekiranya saya letakkan kedua-dua A73 dan A72 di atas meja, memang sukar untuk tahu mana satu peranti lama atau baharu.
Namun, setelah saya cuba memegangnya, A72 sebenarnya sedikit tebal dan berat berbanding A73 di mana telefon terbaru ini jauh lebih ringan.
Panel belakang bagi kedua-duanya pun sama termasuk kemasan matte daripada plastik dan juga bahagian sisinya.
Akan tetapi, kadang tidak semuanya indah. Hal ini kerana pada A73, ia tidak mempunyai bicu audio 3.5mm. Sudahlah tiada bicu audio, fon telinga (earphone) pun tidak diberikan juga.
Walau bagaimanapun, lain-lain masih sama seperti pengimbas cap jari pada skrin, sistem pembesar suara stereo dan penarafan IP67 kalis debu dan air.
Identiti Menghampiri Telefon Berkelas Andalan
Samsung Galaxy A73 masih dilengkapi bateri 5000mAh dengan kelajuan mengecas 25W. Sayang sekali, kelajuan mengecas itu tidak boleh dinikmati sejurus membuka kotak.
Ini disebabkan bermulanya tahun ini, siri Galaxy A sudah mengikut jejak abang-abangnya terdahulu di mana tidak disertakan pengecas di dalam kotak.
Bermakna, apa yang akan diterima selepas membelinya hanyalah sebuah peranti, dokumen, pin SIM dan kabel USB-C ke USB-C sahaja.
Belum Cukup Baik
Walaupun spesifikasi yang ditawarkan tidak banyak beza tetapi kelebihan yang ada pada A73 sudah semestinya cip pemprosesan dan sokongan kemas kini jauh lebih lama.
Namun, Samsung tidak seharusnya selesa dengan pendekatan sebegini kerana lama kelamaan pengguna akan beralih arah juga.
Apa-apa pun, apa yang saya sampaikan ini hanyalah pendapat awal dahulu dan sekiranya anda mahu mengetahui lebih mendalam dari segi ketahanan bateri, prestasi gaming dan kamera, ulasan mengenainya akan diterbitkan dalam masa terdekat.
Baca juga: