Melihat kepada pasaran telefon pintar pada masa kini, boleh dikira dengan jari berapa banyak peranti yang menawarkan saiz kompak atau kecil, selesa dipegang sebelah tangan dan pada masa sama berkuasa.
Salah satu peranti yang berada dalam kategori ini ialah iPhone SE 2022 atau iPhone SE 3. Sebuah penawaran terbaru oleh Apple dan boleh dikatakan ia merupakan iPhone 5G yang paling mampu milik, daripada Apple.
Sejujurnya, seperti yang pernah saya tulis dalam mana-mana ulasan terdahulu, saya sudah tidak menggemari telefon pintar bersaiz besar dan mahu kembali kepada saiz lebih kecil pula. Mudah kata, peranti yang sedap digunakan sebelah tangan.
Walau bagaimanapun, iPhone SE ini bukanlah peranti yang menepati cita rasa yang diinginkan. Ini kerana ada beberapa perkara yang saya berasakan ia tidak patut wujud lagi dalam mana-mana telefon pintar yang dilancarkan pada tahun 2022.
Pada artikel kali ini, saya lebih mahu menekankan beberapa aspek yang penting sahaja memandangkan peranti ini tidak menerima perubahan ketara melainkan cip, bateri serta panel belakang kaca.
Skrin Yang Dikitar Semula
Pada reaksi awal saya, memang benar saya mengatakan panel IPS pada iPhone SE 2022 ini masih lagi cantik jika nak dibandingkan dengan mana-mana peranti yang hadir dengan panel IPS.
Apa yang saya cuba sampaikan, paparannya tidaklah nampak washed out kerana warna yang dihasilkan masih lagi baik cuma bukan terbaik memandangkan ia bukanlah daripada OLED.
Selain itu, skrin berkeluasan 4.7 inci ini juga tidak ada apa-apa yang istimewa. Kadar segar semula 60Hz, tiada DolbyVision atau HDR dan resolusi hanyalah 720p atau HD. Seperti yang saya katakan dalam reaksi awal, kekurangan itu sebenarnya ditutup dengan skrin yang kecil sahaja.
Jika skrinnya besar, sudah pasti resolusi HD amatlah tidak cantik. Umpama sebuah peranti berkelas permulaan. Tambahan lagi, paparannya juga tidak begitu cerah baik di dalam bilik mahupun di bawah sinaran matahari.
Walau apa pun, masih lagi syok untuk menikmati kandungan YouTube atau video-video di media sosial tetapi perlu biasakan diri dengan saiz yang kecil.
Dapat Kemas Kini Terbaru Tapi Bukan Untukmu
Salah satu faktor kenapa banyak pengguna yang gemar memilih peranti iPhone adalah disebabkan sokongan kemas kini sistem perisian (OS) dalam tempoh lama. Biasanya sekitar 5 tahun. Jadi, bayangkan, iPhone yang didatangkan dengan perisian iOS 15.4 boleh dikemaskini sehingga iOS 20 sekurang-kurangnya.
Namun begitu, tidak adil kalau saya menangkan iPhone bukan? Ini kerana telefon pintar Android seperti Pixel, Nokia, Samsung menawarkan kemas kini sehingga 4 tahun untuk OS dan 5 tahun keselamatan.
Bermakna, kita sebagai pengguna, hanya perlu bijak menilai sahaja mahukan Android atau iOS.
Seperkara lagi, saya perlu tekankan bahawa kebiasaannya Apple akan memfokuskan iOS buat peranti terbaharu sahaja. Apa yang saya maksudkan adalah iPhone SE hadir dengan butang Home fizikal. Sementara iPhone lain tidak mempunyainya.
Sebagai contoh, control centre perlu dileret daripada bawah pada iPhone SE. Kalau iPhone yang lain perlu dileretkan (swipe) daripada atas kanan. Kemudian, widget yang lebih kecil dan sebagainya. Malah, iOS yang ada fungsi terbaru pun biasanya lebih sedap digunakan pada iPhone terkini.
Bagaimanapun, jangan salah faham. Ia masih lagi baik kerana peranti sebegini mampu menerima iOS yang terkini dalam beberapa tahun akan datang. Pengguna juga tetap dapat beberapa fungsi terbaru pada iPhone SE ini.
Kamera Sama, Hasil Berbeza
Mungkin ada yang berasakan pelik kerana peranti pada tanda harga sebegini masih dilengkapi lensa tunggal sahaja. Saiz sensor belakangnya masih sama, iaitu 12MP. Sementara lensa swafoto pun sama, 7MP.
Akan tetapi, kena ingat yang mana lensa sama ini dibantu cip A15 Bionic. Jadi, secara tidak langsung ia menawarkan fungsi lain seperti smart HDR, Deep Fusion serta rakaman 4K pada 60fps.
Selain itu, turut didatangkan fungsi Photographic Styles yang menawarkan gambar diambil mengikut cita rasa warna yang diingini.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan gambar yang diambil daripada kamera belakang, termasuk dengan mod potret.
Jika diambil dengan betul, ketajaman serta warna yang dihasilkan seperti tona kulit sudah cukup memberitahu orang lain bahawa ia datang daripada iPhone.
Malah, saya telah mengujinya di Facebook dan ramai pembaca dapat meneka dengan mudah gambar daripada kamera iPhone.
Bagaimanapun, gambar malamnya bagi saya tidak begitu baik. Ia ibarat foto yang digunakan dalam peranti 2-3 tahun lalu. Ditambah lagi iPhone SE ini tidak menawarkan mod malam.
Satu lagi, foto swafoto diambil masih lagi baik cuma tidaklah secemerlang peranti iPhone lain. Namun, tidak ada masalah kalau anda mahukan gambar swafoto ‘ringan-ringan’.
Tubuh Kecil Tapi ‘Power’ Dan Masih Tahan Lama
Pernah saya nyatakan dalam artikel terdahulu, “kancil berenjinkan V6”. iPhone SE ini diumpakan sebegitu. Apa yang saya maksudkan adalah anda tidak perlu risau akan prestasinya.
Menyunting gambar? Menjalankan banyak aplikasi? Bermain game? Dengan begitu sahaja iPhone SE boleh lakukan. Ini semua disebabkan cip pemprosesan A15 Bionic.
Dalam permainan Apex Legends Mobile pun, game ini menyarankan tetapan ultra HD dan kadar bingkai high. Tapi masih boleh diletakkan pada tetapan tinggi. Cumanya, saiz skrin kecil ini kurang sesuai untuk memainkan game.
Di sini, saya sertakan juga hasil skor Geekbench yang mana teras tunggal menerima 1738 dan multi-teras pula 4760. Pun begitu, saya kurang gemar dengan nombor-nombor daripada Geekbench kerana ia lebih menunjukkan prestasi atas kertas.
Bagaimanapun, pengalaman menggunakannya dalam situasi sebenar, memang cukup baik. Untuk bateri, ia memberikan screen on time (SOT) lebih kurang 8 jam.
Namun, kalau ada yang menjadikannya sebagai peranti utama, saya menyarankan anda sentiasa membawa sekurang-kurangnya kabel untuk dicas ketika dalam kereta atau membawa powerbank terutama sekiranya anda menggunakan peranti ini seperti tiada hari esok.
Untuk Siapa Sebenarnya iPhone SE?
Dengan tanda harga permulaan RM2099, sebenarnya Apple mahu menjual iPhone ini untuk siapa? Untuk golongan yang inginkan iPhone kompak? Tidak juga kerana iPhone mini sudah ada.
Saya berpendapat bahawa iPhone SE ini akan dibeli oleh dua golongan. Pertamanya, yang tidak boleh move on dengan rekaan iPhone 7/8 yang mana hadir dengan Touch ID.
Keduanya, golongan yang sedia menggunakan peranti Android tetapi mahu berjinak-jinak untuk mencuba apa itu iOS. Mudah kata, mahu merasai iPhone dan menjadikannya sebagai peranti kedua kerana ia hanya untuk basic usage.
Kalau anda sudah memang menggunakan iPhone, saya tidak menyarankan untuk anda memiliki iPhone SE 2022. Yalah, bayangkan iPhone 12 mini dan iPhone 13 mini pun kurang mendapat sambutan. Apatah lagi iPhone SE?
Lebih-lebih lagi iPhone SE 2022 tidak banyak “wow factor” untuk membelinya melainkan cip pemprosesannya.
Oleh yang demikian, saya tidak begitu mengesyorkan anda untuk membeli iPhone SE terutama anda sudah memang menggunakan iPhone. Namun, kalau ada pengguna Android yang mahukan, tiada masalah.
Apa-apa pun, saya mengharapkan iPhone SE ini adalah yang terakhir daripada Apple. Lebih baik mereka meneruskan kembali siri iPhone mini dan tamatkan sahaja iPhone SE. Atau boleh teruskan iPhone SE tetapi dengan rekaan lebih menarik walaupun pasti akan ada kenaikan harga.
Konsepnya mudah, lihat sekeliling dan kiralah berapa ramai yang menggunakan iPhone SE? Akhir kata dari saya, iPhone SE ini bukanlah peranti berkelas andalan meskipun cipnya berkuasa. Tidak adil juga kalau saya mahu bandingkannya dengan iPhone 13 Pro Max atau Samsung Galaxy S22 Ultra. Mungkin saya boleh letakkan iPhone SE berada dalam kelas tersendiri.
Baca juga: