Siri Samsung Galaxy S, siapa sahaja yang tidak mengenali model ini. Sebuah peranti andalan premium yang rasanya semua aspek pada peranti ini (mungkin) tiada keluhan daripada pengguna.
Tetapi sejauh mana benarnya kenyataan itu? Sebelum itu, kami juga ada memberikan reaksi awal mengenai peranti ini. Untuk ketahui lebih lanjut pengalaman awal tentang peranti ini, anda boleh klik pautan ini.
Jadi untuk artikel kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman saya menggunakan sendiri peranti ini selama lebih kurang 3 minggu. Jom.
Rekaan Sama Seperti Galaxy Note 10
Kita mulakan dahulu dari segi rekaan pada Samsung S22 Ultra ini. Pertama kali pegang peranti ini, memang terasa yang peranti ini sebuah peranti premium. Rasanya begitu solid bila berada ditangan.
Skrin yang diberikan pada peranti ini adalah jenis melengkung. Mungkin ada sesetengah orang tidak berapa suka dengan skrin jenis melengkung kerana sukar untuk mencari srkin pelindung. Kadang-kadang tu, ia tersentuh pada bahagian kiri dan kanan skrin. Sepanjang saya guna, saya tidak pula menghadapi masalah ini.
Rekaan kamera pada peranti ini adalah sesuatu yang baharu dibawakan oleh Samsung, Setiap modul kamera mempunyai ‘rumah’ yang tersendiri. Dan seperti yang pada artikel sebelum ini, kedudukan kamera ini sama sahaja dengan Samsung Galaxy S21 Ultra cumanya tiada bonggol.
Bahan yang digunakan untuk srkin dan panel belakang adalah kaca dengan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus+. Nak cakap tentang ketahanan tu memang dan mantap dah pun. Kalau tak percaya boleh tengok video JerryRigEverything di YouTube.
Tapi saya perasan pada bahagian panel belakang telefon ada sedikit ruang kosong (hollow) pada bahagian tengah. Ini membuatkan panel belakang memberikan sedikit ‘feel’ seperti plastik. Bukan apa, teman saya mula-mula pegang peranti ini pun tertanya-tanya “belakang ini plastik ke kaca?” Sampai macam tu sekali.
Itu cuma sedakar maklumat tambahan sahaja. Selain daripada itu, saya suka dengan rekaan keseluruhan peranti ini.
Selain itu, Samsung Galaxy S22 Ultra ini juga mempunyai penarafan kalis air dan debu IP68. Kalau nak guna waktu hujan atau terjatuh dalam lopak air tu tiada masalah.
Bermula Legasi Note Pada Ultra
Sekian lama Samsung tidak melancarkan siri Samsung Galaxy Note. Kali ini mereka menghadirkan ciri Note tersebut pada model Ultra Galaxy S.
Pada peranti ini, terbinanya S Pen yang kita boleh dapati pada bahagian bawah kiri peranti ini. Bukan sekadar sokongan S Pen, Samsung juga membawa fungsi-fungsi S Pen seperti Bixby Vision, Magnify, Glance, Translate dan banyak lagi.
Sebenarnya, banyak juga fungsi pada S Pen ini. Ketika mula-mula guna tu cuma untuk ambil nota sahaja. Bercakap tentang mengambil nota, Samsung kali ini juga telah mengurangkan latency sehingga 2.8ms ketika menulis.
Ketika tulis guna S Pen ini akan terasa lancar sahaja. Bukan itu sahaja, Samsung juga ada menyertakan kesan bunyi yang menghasilkan bunyi seperti menulis atas kertas ketika mencatat nota.
Berbalik semula kepada pada fungsi S Pen ini, banyak gesture yang Samsung sumbatkan padanya. Seperti contoh, tekan butang lama-lama untuk buka Note dan Air Action ketika hover pada aplikasi. Kita juga boleh menggunakan gesture pada skrin untuk kembali, ke halaman utama, recents, Smart select dan Screen Write.
Di samping itu, setiap kali anda keluarkan S Pen daripada telefon anda, ia akan memaparkan pintasan (shortcut) melalui ikon Air Command. Pintasan ini membenarkan anda untuk memilih fungsi mana yang anda perlukan ketika menggunakan S Pen. Dari inilah anda boleh menggunakan fungsi Bixby Vision, Magnify, Glance dan Translate seperti yang saya nyatakan diatas tadi.
Selain daripada itu, butang pada S Pen ini juga boleh dijadikan sebagai shutter ketika menggunakan aplikasi kamera. Ketika memainkan media pula, butang ini akan menjadi fungsi butang main, berhenti dan main muzik seterusnya. Anda juga boleh lukiskan gesture atas, bawah, kiri dan kanan untuk beri fungsi kuatkan dan perlahankan kelantangan serta mainkan muzik sebelum atau seterusnya.
Pada mulanya, agak saya agak celaru untuk fahamkan kesemua fungsi dan ciri-ciri ini, tetapi lama-kelamaan saya faham cara untuk menggunakannya.
Betulkah Snapdragon pada Samsung ni yang orang mahukan?
Dari dulu lagi, Samsung Malaysia akan memberikan varian cip Exynos pada siri Galaxy S mereka. Jadi pada mereka yang inginkan cipset Snapdragon, mereka perlu menunggu sehingga Samsung Galaxy S FE dilancarkan.
Kini, Samsung membuat kelainan sedikit dengan memperkenalkan siri Samsung Galaxy S22 mereka dengan varian Snapdragon iaitu Snapdragon 8 Gen 1. Jadi bagaimana prestasi cipset ini?
Sepanjang saya menggunakan Samsung Galaxy S22 Ultra ini, semuanya lancar sahaja. Setakat untuk guna multi screen, floating windows tu memang tiada masalah.
Kebiasaanya, ada yang mempersoalkan macam mana dengan suhu ketika menggunakan aplikasi peta menggunakan data mudah alih?Sepanjang penggunaan ini, saya boleh beritahu yang suhu peranti ini stabil sahaja ketika berbuat demikian.
Prestasi nyahkunci ada Galaxy S22 Ultra ini juga sangat pantas. Pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis bawah paparan dan pengecamannya juga memang pantas. Tetapi kadang-kadang itu peranti ini tidak dapat mengecam cap jari saya.
Untuk nyahkunci ini juga anda boleh tetapkan untuk pengecaman wajah. Saya boleh kata yang pengecaman wajah ini sangat pantas dan masih boleh cam wajah walaupun dalam keadaan gelap.
Prestasi skrin dan pembesar suara juga memberansangkan. Saya tidak jumpa sebarang kecacatan pada skrin ini. Pembesar suaranya juga mantap dengan sokongan pembesar suara stereo.
Bukan apa, hanya pendapat peribadi, pembesar suara ini tidak setangding dengan pembesar suara stereo pada ASUS ROG Phone 5 yang bagi saya lebih asyik didengar. Apa-apa pun, pembesar suara pada peranti ini sudah cukup baik.
Pada Galaxy S22 Ultra ini, fungsi yang paling saya nak gunakan adalah Samsung Pay. Hal ini kerana saya tidak menggunakan fungsi tersebut sebelum ini. Fungsi ini membenarkan anda untuk membuat pembayaran yang menggunakan kad debit atau kredit hanya menggunakan peranti ini sahaja.
Untuk mendaftarkan kad anda pada peranti ini, ia mempunyai langkah yang agak panjang kerana anda perlu mendaftarkan akaun Samsung terlebih dahulu. Jika and sudah mempunyai akaun Samsung, anda cuma perlu log masuk sahaja, lebih mudah.
Jadi untuk fungsi Samsung Pay ini, saya kagum dapat menggunakannya. Tidak perlu susah-susah nak keluarkan kad dari dompet anda lagi.
Memang ini adalah apa yang saya harapkan pada sebuah peranti andalan premium. Sehinggalah…
Cuba teka apa masalah yang saya hadapi? Saya rasa anda pun tahu tentang perkara ini. Baru sahaja dilancarkan, sudah ada laporan mengenai peranti ini. Ya, masalah isu pengehadan (throttling) pada aplikasi.
Laporan ini dibuat beberapa hari sahaja selepas ia dilancarkan. Menurut laporan tersebut, Samsung telah menggunakan aplikasi tersembunyi Gaming Operating Services (GOS) untuk mengurangkan prestasi aplikasi gaming demi menjimatkan bateri.
Saya dapat rasakan masalah ini ketika saya main permaian video mudah alih paling popular iaitu Genshin Impact. Ketika bermain, tak sebenarnya tak sempat main lagi, baru nak pusing-pusing untuk cuba grafik memang terasa dan nampak sangat isu throttling tu.
Bila dah jadi macam ini, saya tetapkan had grafik paling minimum, malangnya ia tidak membuahkan hasil. Masih terang lagi bersuluh isu yang saya hadapi ini. Memang hilang terus ‘mood’ nak sambung main.
Tidak lama selepas itu, Samsung telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mengaku ada menggunakan GOS pada siri Galaxy S mereka dan akan mengeluarkan kemas kini baharu untuk membuang GOS tersebut. Pada mulanya, kemas kini itu hanya dilepaskan di Korea dan diikuti dengan Eropah. Kemudian pada 23 Mac, barulah saya menerima kemas kini ini.
Teruja dengan kemas kini ini, selepas sahaja selesai saya terus buka Genshin Impact. Dan hasilnya, masih sama. Ya, tak ada perubahan selepas kemas kini. Jadi sebenarnya ini masalah dari GOS atau Snapdragon 8 Gen 1? Ataupun game ini masih belum dioptimasikan pada Samsung S22 Ultra? Dengan prestasi teruk sebegitu, saya boleh cakap yang POCO F3 yang saya guna ini boleh beri pengalaman yang lebih baik.
Lagi saya pelik, ketika main game lain seperti Mobile Legends atau Apex Legends, saya tidak pula alami isu throttling ini. Jadi kita letak tepi dulu isu Genshin Impact ini dan fokus semula pada prestasi gaming.
Ketika main Mobile Legends, game ini boleh dimain dengan lancar pada tetapan grafik paling tinggi tanpa ada kepanasan. Tiada masalah.
Begitu juga dengan Apex Legends, peranti ini menyokong tetapan paling tinggi iaitu dengan kualiti imej Original pada kadar bingkai (frame rate) Balanced atau kualiti imej ExtremeHD pada frame rate Extreme High. Walaupun pada tetapan ini, Samsung masih mampu mengawal suhu peranti pada tahap optimum.
Lagi satu, saya minat dengan ‘feel’ pegang peranti ini ketika main game. Disebabkan bahagian atas dan bawah ini rata, ia sungguh teguh pada genggaman tangan.
Cumanya, saya kebiasaannya main game dengan lubang pengecasan pada bahagian kanan. Jadi kebiasaannya tangan saya akan menutupi pembesar suara peranti ini. Ini cuma pendapat peribadi saya sahaja. Anda boleh sahaja terbalikkan peranti ini untuk tidak menghalang pembesar suara ini, tiada masalah.
Kamera Cukup Padu
Beralih pula pada aspek kamera pula, Samsung sememangnya memfokuskan fotografi pada siri peranti Galaxy S mereka. Jadi mari kita lihat satu per satu.
Untuk kamera utama, hasil gambar memang tajam, kemas dan sangat cantik. Warna pada gambar juga cerah.
Cuma saya dapati jika mengambil gambar ketika bergerak, gambar akan menjadi agak kabur dan tidak dapat mengekalkan butiran dengan agak baik.
Terdapat juga tetapan Motion Photo yang mana ia dapat merakam senario 2 saat sebelum gambar diambil. Boleh kata fungsi ini seperti
Samsung ada menyertakan lensa periskop untuk memberi gimik 100x zum. Apa yang saya boleh katakan tentang zum ini adalah Samsung berjaya tacapan yang bagus pada fungsi ini. Dengan menggunakan zum sehingga 100x sekali pun, teknologi AI ini membantu untuk memberikan hasil yang memuaskan walaupun hasil gambar nampak pixalated.
Beralih pada potrait pula, gambar sangat cantik dengan potongan bokeh yang kemas tidak kira diambil pada waktu siang mahupun malam. Ketika mengambil gambar, terdapat 2 pilihan zum iaitu 1x zum atau 3x zum.
Cumanya, ketika mengambil potrait ini, peranti ini tidak dapat memberi fokus dan hasil akan menjadi kabut jika objek bergerak walaupun sedikit. Ini menunjukkan bahawa Samsung agak mengambil masa untuk memproses gambar objek dengan latar belakang.
Sudut ultra lebar sangat luas jika dibandingkan dengan kamera utama. Hasil gambar juga tidak menunjukkan kesan distortion. Namun saya dapati bahawa gambar sudut lebar ini agak malap. Selain daripada itu, gambar memang jelas dan mampu mengekalkan ketajaman pada gambar.
Seterusnya kita sentuh pula gambar malam. Ketika mengambil gambar, Galaxy S22 Ultra ini perlu stabil dalam masa 2 saat untuk memberi masa kepada penyerapan cahaya sensor kameranya.
Dan hasilnya, gambar sangat terang di samping dapat mengekalkan butiran dengan baik.
Daripada gambar malam ini juga, saya dapati bahawa samsung cuba untuk mencerahkan suasana sekeliling sehinggakan langit juga turut dicerahkan. Ini membuatkan gambar ini tidak nampak begitu natural.
Terakhir dalam aspek kamera adalah prestasi swafotonya. Pada kamera swafoto ini juga, Samsung memberikan pilihan untuk mod biasa atau potrait. Kedua-duanya dapat memberikan hasil yang baik. Potongan bokeh juga kemas dan tepat.
Dalam keadaan cerah sekalipun, saya tidak mendapati sebarang kesan overexposed. ‘
Dengan tetapan lalai, kamera swafoto telah ditetapkan pada mod beauty. Jadi wajah akan nampak lebih anggun. Bagi siapa yang sukakan tetapan lebih natural, anda boleh sahaja ubah pada bagaian filter yang boleh didapati pada bagaian atas kanan ketika mengambil gambar.
Selesai bahagian gambar, kita tengok pula bahagian video. Anda boleh tetapkan sehingga 6 mod dengan kadar bingkai (frame rate) berbeza iaitu HD 30fps, FHD 30fps, FHD 60fps, UHD 30fps, UHD 60fps dan 8K 24fps.
Ketika merakam, saya sarankan untuk guna tetapan UHD 60fps sahaja untuk hasil yang menarik di samping memberi video resolusi tinggi. Hal ini kerana jika menggunakan tetapan 8K 24fps, hasil video akan jadi gegar. Kecuali jika anda rakam menggunakan stand.
Kalau rakam guna UHD 60fps tu bukannya nak kata video langsung tidak bergegar, ada cuma kurang la sikit. Kalau betul-betul nakkan hasil video yang betul-betul stabil, anda boleh hidupkan tetapan Super Steady tetapi fungsi ini terhad untuk resolusi FHD 30fps dan FHD 60fps sahaja.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi kamera pada Samsung Galaxy S22 Ultra ini, tetapi telefon memang akan jadi panas untuk penggunaan terus.
Bateri Besar Tapi Cas Perlahan
Akhir sekali, kita sentuh pula pada bateri. Seperti yang saya nyatakan tadi, penggunaan kamera akan membuatkan peranti ini menjadi panas, tetapi adakah ia juga memakan bateri? Sebenarnya aplikasi ini agak memakan bateri, ini disebabkan Galaxy S22 ultra perlu memproses gambar beresolusi tinggi yang diambil.
Setakat penggunaan saya, aplikasi kamera ini yang membuatkan pernah membuatkan peranti ini betul-betul panas. Bukanlah sampai tidak boleh pegang tetapi dibandingkan dengan aplikasi lain seperti peta dan game pun, saya jarang alami kepanasan melampau sebegini.
Ketika bermain game pula, saya perhatikan ketahanan bateri itu sama seperti peranti-peranti lain. Maksudnya di sini, bateri tu tidak la tahan mana. Biasa-biasa sahaja.
Untuk penggunaan harian tiada masalah. Tapi hujung hari tu telefon dah perlu dicas semula walaupun kapasiti bateri peranti ini adalah 5000mAh.
Bab pengecasan, telefon ini menyokong pengecasan pantas sehingga 45W. Mungkin dah nampak macam lagi. Tetapi berdasarkan laporan, pengegasan 45W ini hanya mengecas 4 minit lebih pantas berbanding pengecasan 25W. Macam tiada beza pun untuk guna pengecasan 45W.
Disebabkan Samsung tidak lagi menyertakan palam pengecasan dalam kotak mereka, saya mengecas peranti ini menggunakan palam pengecas Xiaomi 33W. Masa yang diambil untuk penuh adalah lebih 2 kali ganda daripada lama iaitu selama 2 jam 15 minit.
Jika dibandingkan, POCO F3 yang saya gunakan ini hanya mengambil lebih kurang 1 jam untuk mengecas penuh menggunakan palam yang sama.
Kesimpulan
Walaupun peranti ini ketika dalam penggunaan saya masih ada beberapa aspek yang bagi saya tidak patut berlaku pada sebuah peranti andalan premium, tetapi itu hanya pada penggunaan saya. Mungkin pada anda, perkara yang saya tidak minati ini tidak menjadi masalah pun pada anda.
Secara keseluruhannya, saya betul-betul berpuas hati dengan prestasi gaming, kamera, bateri, skrin, audio dan tidak lupa juga S Pen.
Jika anda berminat untuk beli Samsung Galaxy S22 Ultra, boleh beli di:
- Shopee – https://invol.co/cl9yi6u
- Lazada – https://invol.co/cl9yi8l
Baca juga: