Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Anthropic Perkenal Claude Opus 4.7

Posted on April 17, 2026April 17, 2026

Anthropic hari ini mengumumkan model Claude terbaharunya, Opus 4.7, yang membawa penambahbaikan ketara berbanding Opus 4.6 dalam kejuruteraan perisian lanjutan dan pengekodan, namun tidaklah setanding Mythos.

Menurut Anthropic, lonjakan prestasi ini membolehkan pembangun menyerahkan tugasan teknikal yang rumit, di mana sebelum ini memerlukan pemantauan manusia yang rapi, kepada AI dengan yakin. Antaranya termasuk mengendalikan tugas yang kompleks dan berjangka panjang dengan teliti dan konsisten, memberi perhatian yang tepat kepada arahan, dan merangka cara untuk mengesahkan outputnya sendiri sebelum melaporkan kembali.

Opus 4.7 juga mempunyai keupayaan visual yang lebih tajam, membolehkannya menganalisis imej beresolusi tinggi (lebih 3 kali ganda), serta menghasilkan antara muka, slaid dan dokumen yang berkualiti tinggi.

Anthropic mengakui Opus 4.7 masih belum mencapai tahap keupayaan model Mythos Preview, namun ia menunjukkan peningkatan menyeluruh berbanding versi sebelumnya dalam pelbagai penanda aras.

Minggu lalu, Anthropic memperkenalkan Project Glasswing bagi menilai risiko dan potensi AI dalam keselamatan siber, dan menetapkan bahawa model Mythos Preview hanya akan ditawarkan secara terhad. Sebagai langkah awal, ciri perlindungan siber baharu akan diuji pada model yang kurang berkuasa terlebih dahulu, dan Opus 4.7 menjadi model pertama dalam pendekatan ini.

Walaupun Opus 4.7 tidak sehebat Mythos dalam mengesan kerentanan keselamatan, Anthropic berkata model ini dilengkapi sistem perlindungan yang mampu menyekat sebarang cubaan penyalahgunaan siber berisiko tinggi secara automatik.

Bagi pakar keselamatan yang memerlukan keupayaan ini untuk tujuan etika, Anthropic turut memperkenalkan Cyber Verification Program.

Claude Opus 4.7 tersedia hari ini merentasi semua produk Claude termasuk claude.ai, API serta platform seperti Amazon Bedrock, Google Cloud Vertex AI dan Microsoft Foundry. Dari segi harga, ia kekal sama seperti Opus 4.6 iaitu AS$5 bagi setiap sejuta token input dan AS$25 bagi setiap sejuta token output.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress