Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan peraturan interim baharu yang menetapkan keperluan lesen bagi eksport, eksport semula atau pemindahan semikonduktor canggih tertentu ke lima negara, termasuk Malaysia.
Melalui peraturan yang dikeluarkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) AS, Malaysia disenaraikan bersama Indonesia, Singapura, Thailand dan Brazil sebagai destinasi yang memerlukan lesen tambahan berkenaan, selain keperluan lesen sedia ada.
“Selain keperluan lesen sedia ada bagi semikonduktor canggih, lesen juga diperlukan untuk mengeksport, mengeksport semula atau memindahkan (dalam negara) semikonduktor canggih ke Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand atau Brazil (serta mana-mana negara tambahan..). Negara-negara ini dikenal pasti mempunyai risiko pengalihan semikonduktor yang lebih tinggi daripada biasa,” menurut peraturan interim itu.
Bagaimanapun, peraturan baharu ini bukan larangan menyeluruh terhadap penghantaran cip ke Malaysia. Keperluan lesen baharu hanya melibatkan semikonduktor canggih tertentu yang termasuk dalam skop kawalan eksport AS.
Pengecualian turut diberikan kepada syarikat yang beribu pejabat di AS atau mempunyai syarikat induk di negara itu, namun masih perlu mematuhi syarat pelaporan yang ditetapkan.
Selain kawalan penghantaran cip, peraturan interim itu turut menyasarkan pusat data di luar AS yang menyediakan akses jarak jauh kepada kapasiti pemprosesan berskala besar kepada syarikat yang beribu pejabat di China, Macau atau negara dalam kumpulan D:5.
Kawalan ini turut mengambil kira akses secara tidak langsung, termasuk melalui pihak perantara. Dengan langkah tersebut, AS mahu menghalang syarikat dari negara-negara berkenaan daripada mendapatkan akses kepada kuasa pemprosesan berasaskan cip canggih buatan AS melalui pusat data di negara lain tanpa perlu menerima cip berkenaan secara langsung.
Peraturan ini dijadual berkuat kuasa pada 19 November 2026, apabila diterbitkan dalam Federal Register.
