YTL AI Labs melancarkan ILMUcode, platform AI coding baharu untuk pembangun, pelajar dan individu yang ingin membina perisian menggunakan bantuan kecerdasan buatan.
ILMUcode menggabungkan pembantu pengekodan berasaskan AI agentik dengan ILMU-GLM-5.3, model terbaharu dalam keluarga ILMU yang dibangunkan menerusi kerjasama YTL AI Labs dengan Z.ai.
Platform ini direka untuk membantu pengguna memahami codebase yang kompleks, menulis dan mengubah suai kod, menyelesaikan masalah serta menukar idea kepada perisian yang boleh digunakan dengan lebih pantas.
Menurut YTL AI Labs, prestasi ILMUcode berada dalam kelompok model coding terkemuka berdasarkan penanda aras seperti Terminal-Bench 2.1 dan DeepSWE.

Sebagai sebahagian daripada pelancarannya, Universiti Malaya menjadi universiti pertama di Malaysia memperkenalkan ILMUcode kepada pelajar. Seramai 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat akan menerima kredit RM100 sebulan selama tiga bulan, bersamaan sehingga RM300 setiap seorang.
ILMUcode dibina di atas infrastruktur AI berdaulat, selaras dengan pendekatan YTL AI Labs untuk membangunkan keupayaan AI tempatan sambil bekerjasama dengan syarikat teknologi global.
Selain ILMUcode, keluarga produk YTL AI Labs turut merangkumi ILMUclaw untuk pembangunan ejen AI autonomi serta ILMUchat, pembantu AI perbualan yang tersedia di Apple App Store dan Google Play.
ILMUcode kini boleh digunakan oleh pembangun, pelajar dan pengguna umum melalui platform rasminya.
{suggest}
