WhatsApp kini memudahkan pengguna iPhone mengawal kualiti audio ketika membuat panggilan dengan menambah akses mod mikrofon secara terus dalam paparan panggilan.
Sebelum ini, ciri seperti Voice Isolation dan Wide Spectrum memang sudah tersedia pada iPhone sejak iOS 15. Namun, pengguna perlu mencarinya secara manual melalui Control Center, menyebabkan ramai mungkin tidak pernah menggunakannya.
Dengan kemas kini terbaru ini, WhatsApp membawa akses yang lebih mudah untuk ciri tersebut.
Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu menekan butang “More” pada skrin panggilan WhatsApp dan memilih pilihan “Mic Mode”. Selepas itu, pengguna boleh memilih mod pemprosesan audio yang dikehendaki dan tetapan tersebut akan terus digunakan tanpa menamatkan panggilan.

Antara pilihan yang tersedia ialah Automatic, Standard, Voice Isolation dan Wide Spectrum.
Voice Isolation membantu mengurangkan bunyi latar supaya suara lebih jelas, manakala Wide Spectrum membenarkan lebih banyak bunyi persekitaran masuk. Mod Automatic pula membolehkan iOS memilih tetapan paling sesuai berdasarkan keadaan panggilan.
Menurut WABetaInfo, berbeza dengan Android yang menggunakan sistem pembatalan hingar terbina WhatsApp, ciri di iOS ini tidak diproses oleh WhatsApp sendiri. Sebaliknya, WhatsApp hanya menyediakan akses lebih mudah kepada kawalan mod mikrofon Apple yang sedia ada, manakala pemprosesan audio masih dilakukan oleh sistem iOS.
Tetapan mod mikrofon yang dipilih juga akan kekal untuk panggilan WhatsApp seterusnya sehingga pengguna menukarnya semula.
Buat masa ini, ciri tersebut masih dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna iOS yang menggunakan versi terbaru WhatsApp dan belum tersedia kepada semua pengguna.
{suggest}
