WhatsApp tampil menjelaskan beberapa aspek keselamatan dan privasi melibatkan ciri username (nama pengguna) yang bakal diperkenalkan kepada semua pengguna, susulan pelbagai persoalan yang timbul sejak tempahan username dibuka lebih awal.
Menerusi perkongsian di X, syarikat itu menjawab kebimbangan berkaitan risiko penyamaran identiti, mesej daripada individu tidak dikenali serta langkah perlindungan yang akan disediakan apabila ciri berkenaan dilancarkan kelak.
‘Username key’ tambah lapisan perlindungan
Antara kebimbangan utama yang disentuh ialah sama ada seseorang boleh menghubungi pengguna hanya dengan mengetahui username mereka.
WhatsApp menggalakkan pengguna memilih username yang unik dan tidak semestinya sama seperti yang digunakan di platform media sosial lain.
Bagi menambah perlindungan, WhatsApp mengesyorkan pengguna mengaktifkan ciri username key. Ia merupakan lapisan perlindungan tambahan yang boleh diaktifkan bersama username.

Dengan ciri ini, pengguna lain perlu mengetahui kedua-dua username dan username key sebelum boleh menghubungi pemilik akaun. Sekiranya mahu mengehadkan semula akses, username key itu juga boleh ditetapkan semula pada bila-bila masa bagi menghalang permintaan mesej baharu melalui username.
Perlindungan untuk kurangkan penyamaran identiti
Dalam masa yang sama, WhatsApp menjelaskan bahawa username yang merujuk kepada individu terkenal, selebriti, agensi kerajaan serta akaun yang disahkan oleh Meta, termasuk beberapa variasi namanya, telah dikhaskan supaya hanya boleh dituntut oleh pemilik yang sah.
Perlindungan yang sama turut diberikan kepada username yang sepadan dengan akaun Instagram atau Facebook. Bagi mendapatkan username yang sama seperti di platform tersebut, pengguna perlu memautkan akaun mereka terlebih dahulu sebagai proses pengesahan pemilikan.
Menurut WhatsApp, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko penyamaran identiti dan memastikan hanya pemilik sebenar boleh menggunakan username berkenaan. Selepas proses pengesahan selesai, pengguna boleh menyahpautkan (unlink) akaun jika mahu atau memilih nama pengguna lain yang unik khusus untuk WhatsApp.
WhatsApp turut menafikan dakwaan bahawa orang ramai boleh menempah username individu terkenal lebih awal. Menurut syarikat itu, nama pengguna sedemikian hanya boleh didaftarkan oleh pemilik sebenar.
Ciri pemesejan melalui username masih belum tersedia
Walaupun tempahan nama pengguna telah dibuka, WhatsApp mengesahkan ciri untuk menghantar mesej menggunakan username masih belum tersedia.
Apabila ciri itu diperkenalkan kelak, WhatsApp akan memaparkan negara asal penghantar serta amaran apabila pengguna menerima mesej daripada individu yang menghubungi mereka buat kali pertama.
Pengguna juga akan diberikan pilihan untuk terus menyekat atau melaporkan akaun yang mencurigakan. Dalam masa yang sama, WhatsApp berkata pihaknya turut memantau laporan dan sekatan yang dibuat oleh pengguna bagi membantu mengesan serta mengambil tindakan terhadap akaun yang terlibat dalam penipuan.
if someone connects with you by username, they will not be able to access your phone number
— WhatsApp (@WhatsApp) July 1, 2026
Menurut WhatsApp, tempahan dibuka lebih awal kerana syarikat itu menjangkakanramai pengguna sudah mempunyai username pilihan masing-masing dan mahu mendapatkannya sebelum ciri tersebut dilancarkan. Pada masa sama, WhatsApp mengambil pendekatan mendapatkan maklum balas pengguna lebih awal supaya pelancaran penuh yang dijadualkan pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
WhatsApp turut mengingatkan bahawa penggunaan username adalah pilihan dan bukannya diwajibkan. Pengguna juga bebas menukar username pada bila-bila masa, selagi pilihan nama itu masih belum digunakan oleh pengguna lain.
{suggest}
