Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Thailand Bakal Perketat Peraturan Pusat Data AI

Posted on September 4, 2026

Thailand bakal memperkenalkan peraturan yang lebih jelas mengenai pusat data AI bagi mengawal sektor yang berkembang pesat itu, dan meminta hampir 50 tapak yang kini dalam pembinaan menangguhkan projek berkenaan sehingga peraturan baharu diperkenalkan.

Ketika permintaan terhadap kecerdasan buatan semakin meningkat, syarikat gergasi teknologi berlumba-lumba melabur berbilion-bilion dolar di Asia Tenggara.

Namun, perkembangan pantas sektor ini telah mendahului peraturan sedia ada. Kebimbangan juga semakin meningkat di seluruh dunia mengenai kesan pusat data terhadap alam sekitar, termasuk penggunaan elektrik dan air, selain kesannya kepada komuniti setempat.

“Thailand menarik minat daripada pelabur tempatan dan asing… Kami perlu memastikan keselarasan dengan undang-undang, piawaian dan kepentingan negara,” kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Beliau berkata peraturan berkaitan akan disemak semula supaya menjadi lebih “ketat” dan mengutamakan keselamatan awam.

Menurut Danucha Pichayanan, setiausaha agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Thailand, sekitar 35 pusat data kini sudah beroperasi di negara itu. Sebanyak 49 pusat data lagi sedang dalam pembinaan, manakala 11 projek telah diluluskan dan 117 lagi masih dalam proses semakan.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk menggantung pembinaan 49 pusat data itu (sehingga peraturan baharu dirangka). Mereka hanya diminta memberikan kerjasama sekiranya mahu menghentikan sementara pembinaan sementara menunggu peraturan yang lebih jelas, yang dijangka diperkenalkan bulan depan,” kata Danucha kepada AFP.

Pusat data baharu, iaitu kemudahan seperti gudang yang menyimpan fail dalam talian dan menggerakan alatan AI daripada chatbot hingga penjana imej, kini semakin banyak dibina di seluruh dunia. Sektor ini turut berkembang dengan begitu pesat khususnya di Asia.

Microsoft pada Mac mengumumkan pelaburan lebih AS$1 bilion dalam infrastruktur dan operasi pusat data AI dan cloud di Thailand untuk tempoh dua tahun akan datang.

Pengumuman itu dibuat selepas Google pada Januari melancarkan “cloud region” baharu di Bangkok, dengan pusat data dijangka menyumbang lebih AS$40 bilion kepada Thailand dalam tempoh lima tahun.

Namun, terdapat kebimbangan di Thailand bahawa ketiadaan peraturan yang jelas sehingga kini telah menyebabkan pusat data dibangunkan tanpa pertimbangan atau kawal selia yang sewajarnya.

Pada Khamis, Kementerian Tenaga Thailand membangkitkan kebimbangan mengenai sebuah pusat data di Bangkok yang menurutnya menyimpan 200,000 liter diesel dalam tangki bawah tanah tanpa kebenaran.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata ibu negara itu menerima enam permohonan untuk membina pusat data. Tiga daripadanya telah beroperasi sejak 2022, manakala tiga lagi dihentikan sementara menunggu semakan. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress