Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tambang LRT3 Laluan Shah Alam Percuma Sebulan, Ini Yang Pengguna Perlu Tahu

Posted on Jun 29, 2026

Sempena pembukaan rasmi LRT3 Laluan Shah Alam, Prasarana melalui Rapid KL kini menawarkan perjalanan percuma kepada orang ramai bermula 29 Jun hingga 31 Julai 2026. Inisiatif ini meliputi perkhidmatan tren dan bas perantara Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia menerusi 20 stesen.

Walaupun tambang adalah percuma sepanjang tempoh tersebut, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diketahui terlebih dahulu.

Siapa yang layak?

Perjalanan percuma ini terbuka kepada semua pelanggan Rapid KL, termasuk warganegara dan bukan warganegara yang menggunakan tren atau bas perantara Laluan Shah Alam.

Namun begitu, inisiatif ini tidak melibatkan perkhidmatan van Rapid KL On-Demand. Perkhidmatan tersebut masih dikenakan caj RM2.00 bagi setiap perjalanan.

Cara menikmati tambang percuma

Pengguna boleh menggunakan kad Touch ‘n Go atau mana-mana pas perjalanan Rapid KL yang masih aktif seperti My50, Rapid Bulanan, Rapid Pelajar dan Rapid Emas. Caj tambang akan disifarkan secara automatik apabila pengguna menyentuh keluar di pintu palang automatik stesen atau di pintu bas bagi setiap perjalanan.

Bagi pengguna yang tidak mempunyai kad atau pas perjalanan, tiket QR boleh diperoleh di Mesin Tambang Automatik (TVM) atau Kaunter Khidmat Pelanggan Laluan Shah Alam. Namun, tiket QR hanya sah untuk satu perjalanan sehala dan perlu diperoleh semula bagi setiap perjalanan berikutnya.

Perlu diingat, tiket QR hanya boleh digunakan untuk tren. Bagi bas perantara, pengguna masih perlu menggunakan kad Touch ‘n Go atau pas perjalanan Rapid KL.

Pastikan kad masih mempunyai baki

Walaupun perjalanan adalah percuma, pengguna yang menggunakan kad Touch ‘n Go atau pas perjalanan masih perlu memastikan kad mempunyai sekurang-kurangnya RM5.00 baki nilai dompet sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, setiap penumpang perlu menggunakan kad Touch ‘n Go atau pas perjalanan masing-masing. Kad atau pas yang sama tidak boleh digunakan oleh lebih daripada seorang pengguna untuk perjalanan yang sama.

Bertukar dari Laluan Kelana Jaya atau Laluan Kajang?

Pengguna yang datang dari Laluan Kelana Jaya atau Laluan Kajang juga boleh menikmati perjalanan percuma di Laluan Shah Alam, namun terdapat langkah yang perlu diikuti.

Pengguna Laluan Kelana Jaya perlu bertukar di Stesen Glenmarie, manakala pengguna Laluan Kajang boleh bertukar di Stesen Bandar Utama. Sebelum memasuki Laluan Shah Alam, pengguna perlu menyentuh keluar terlebih dahulu menggunakan kad, pas atau token perjalanan sehala di laluan asal. Selepas itu, barulah perjalanan di Laluan Shah Alam akan dikira sebagai perjalanan percuma.

Kenapa dicaj RM0.01 ketika naik bas?

Bagi pengguna bas perantara, kad Touch ‘n Go mungkin akan memaparkan caj RM0.01 ketika menaiki bas. Rapid KL menjelaskan caj tersebut akan dipulangkan semula ke dalam kad selepas pengguna menyentuh keluar di pintu bas, manakala tambang perjalanan akan disifarkan sepenuhnya.

Parkir percuma di enam stesen

Selain perjalanan percuma, parkir percuma turut disediakan di enam lokasi Park N’ Ride iaitu Stesen Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Klang, Sri Andalas, Bukit Tinggi dan Johan Setia.

Bagaimanapun, Park N’ Ride di Stesen Glenmarie dan Stesen Bandar Utama tidak termasuk dalam inisiatif ini dan caj parkir di kedua-dua lokasi tersebut kekal mengikut kadar sedia ada.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini memberi peluang kepada orang ramai mencuba Laluan Shah Alam tanpa dikenakan tambang sepanjang tempoh promosi, sekali gus memudahkan pengguna mengenali laluan baharu yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia.

Perincian lanjut mengenai inisiatif ini boleh didapati menerusi Soalan Lazim (FAQ) atau Terma dan Syarat di laman rasmi Rapid KL.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress