Sony memperkenalkan MDR-3R, fon kepala berwayar yang membawa kembali reka bentuk ikonik MDR-3, model yang diperkenalkan bersama Walkman pada 1979. Namun, kali ini ia hadir dengan sambungan USB-C bagi memenuhi keperluan peranti moden.
Walaupun tampil dengan reka bentuk retro seperti model asal, MDR-3R dilengkapi beberapa ciri baharu termasuk mikrofon terbina untuk panggilan telefon serta alat kawalan pada kabel bagi memudahkan pengguna mengawal muzik dan panggilan.

Fon kepala ini mempunyai binaan ringan dan rekaan open-ear bagi memberikan keselesaan ketika mendengar muzik dalam tempoh yang lama. Sony turut menyertakan pad telinga berwarna biru dan jingga yang boleh ditukar mengikut pilihan pengguna.
Untuk kualiti audio, MDR-3R menggunakan unit pemacu 23 mm yang sama seperti MDR-3 asal, dengan beberapa penambahbaikan kecil bagi memenuhi pilihan pendengaran masa kini, sambil menghasilkan bunyi yang semula jadi dan seimbang.

Di sebalik reka bentuk nostalgianya, Sony menjelaskan sambungan USB-C pada MDR-3R tidak direka atau disyorkan untuk digunakan bersama peranti Walkman.
Dari aspek alam sekitar, kira-kira 25% plastik yang digunakan pada binaan fon kepala ini merupakan plastik kitar semula, manakala pembungkusannya pula bebas plastik.
MDR-3R hadir dalam pilihan warna Silver serta edisi Stranger Things yang diinspirasikan gaya fon kepala Max dan dunia Upside Down dalam siri Netflix tersebut. Edisi khas ini hadir dengan logo Stranger Things yang diukir pada fon kepala serta pembungkusan khas.
Harga dan ketersediaan

Untuk pasaran Malaysia, prapesan Sony MDR-3R kini dibuka pada harga RM259 bagi model standard berwarna Silver, manakala MDR-3R Edisi Stranger Things ditawarkan pada harga RM299.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi Sony Malaysia.


