WhatsApp secara rasmi mengumumkan ciri mesej berjadual yang membolehkan pengguna menetapkan penghantaran mesej kepada individu atau kumpulan pada tarikh dan waktu tertentu.
Sebelum ciri ini diumumkan secara rasmi, sebilangan pengguna telah pun mendapat akses lebih awal. Namun, dengan pengumuman rasmi daripada WhatsApp, ia menandakan pelancarannya secara meluas serta ketersediaan untuk lebih ramai pengguna di peringkat global.
Menerusi blog rasminya, WhatsApp menjelaskan ciri ini membolehkan pengguna menulis mesej lebih awal sebelum menetapkan waktu penghantarannya. Mesej yang telah dijadualkan tetap akan dihantar pada waktu ditetapkan walaupun telefon pengguna dimatikan atau kehabisan bateri.
Mesej tersebut juga akan kelihatan seperti mesej biasa kepada penerima, tanpa sebarang tanda khas yang menunjukkan ia telah dijadualkan. Pengguna juga boleh melihat senarai mesej yang menunggu untuk dihantar dan memadamkannya lebih awal sekiranya berubah fikiran.

Seperti dinyatakan sebelum ini, ciri ini menyokong penghantaran mesej teks, foto dan video, dengan pengguna boleh menetapkan penghantarannya seawal 10 minit atau sehingga 14 hari lebih awal.
Dari segi privasi, mesej berjadual turut dilindungi penyulitan hujung ke hujung (E2EE), sama seperti mesej peribadi lain di platform itu.
WhatsApp mengesahkan ciri mesej berjadual dilancarkan secara global dalam beberapa minggu akan datang.
