Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Aplikasi Cari Bakat Bola Sepak Dipacu AI Akan Diperkenal Di Eropah

Aplikasi Cari Bakat Bola Sepak Dipacu AI Akan Diperkenal Di Eropah

Diterbitkan November 26, 2026 · Dikemas kini November 26, 2026 oleh ariff bukhari

Kecerdasan buatan (AI) kini mula menembusi padang bola sepak menerusi sebuah aplikasi yang direka untuk mengenal pasti bakat muda, yang dijadualkan dilancarkan di pasaran Eropah pada Januari ini.

Aplikasi Footbao, yang memulakan debutnya di Amerika Selatan, membolehkan pemain muda yang bercita-cita tinggi memuat naik video perlawanan atau sesi latihan hanya dengan beberapa klik.

Klip video berkenaan kemudiannya dianalisis oleh sistem AI yang menjana laporan mengenai atribut teknikal, taktikal, fizikal dan mental pemain.

Laporan tersebut seterusnya ditapis dan dibentangkan kepada pencari bakat (scout) bola sepak profesional.

Dicipta oleh pelabur Switzerland, aplikasi ini mula dilancarkan di Brazil pada 2023 dan sejak itu telah diperluaskan ke negara Amerika Selatan lain, termasuk Argentina, Uruguay dan Colombia.

Aplikasi ini sudah mempunyai kira-kira 182,500 pengguna dan menerima sekitar 3,000 video seminggu di Brazil sahaja, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya dari Britain, Nick Rappolt pada sidang media di Zurich minggu ini.

Antara lebih daripada 80 kelab rakan kongsinya termasuk kelab ternama Brazil, Santos dan Corinthians, kedua-duanya merupakan bekas juara kelab dunia.

Aplikasi ini dijadualkan dilancarkan di Eropah pada Januari, bermula di Jerman, Austria dan Switzerland, sebelum diperluaskan ke seluruh benua berkenaan.

Rappolt berkata walaupun pemain muda berbakat mudah mendapat perhatian di platform seperti Instagram dan TikTok, cabaran utamanya kekal untuk disedari oleh pihak yang tepat.

Beliau menegaskan aplikasi itu bukan bertujuan menggantikan pencari bakat, sebaliknya dirangka untuk memudahkan proses mengenal pasti pemain berpotensi dan menghubungkan mereka dengan kelab.

Berpangkalan di kanton Zug, Switzerland, barisan pelabur syarikat itu merangkumi jurubank Switzerland, Boris Collardi, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif bank swasta Julius Baer; bekas Presiden FC Basel, Bernhard Burgener; serta ketua jurulatih Switzerland, Murat Yakin.

 

“Saya melihat ramai pemain berbakat; mereka mencuba dan mungkin impian mereka tidak menjadi kenyataan,” kata Yakin kepada AFP.

“Sebab itulah platform ini penting untuk pemain tersebut. Amat penting bagi golongan muda untuk mendapat peluang kedua.

“Dengan aplikasi bola sepak ini, anda boleh membandingkan kekuatan dan kelemahan anda dengan pemain lain,” kata bekas pemain pertahanan Basel itu.

“Jika anda tidak pernah mendapat maklum balas daripada jurulatih atau pencari bakat, anda boleh membandingkan… maklum balas yang diterima daripada platform ini” dengan maklum balas pemain lain daripada kumpulan umur yang sama, ujar Yakin.

– AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Samsung Lancar Monitor Gaming Dengan Kadar Segar Semula 1,100Hz Pertama Di Dunia
  • YTL AI Lab Lancar Cikgu ILMU, AI Percuma Bantu Ibu Bapa Bimbing Pembelajaran Anak

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Akhirnya, WhatsApp Secara Rasmi Perkenal Ciri Mesej Berjadual
  • SpaceX Dapat Kelulusan AS Untuk Lancar Sehingga 1 Juta Satelit Pusat Data Ke Angkasa
  • 1Password Sahkan Sistem Dalaman Diceroboh, Maklumat Akaun Sebahagian Pengguna Dicuri
  • Mini PC ASUS ProArt GR1X Dengan NVIDIA RTX Spark Berharga RM25,200 Di Malaysia
  • Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong
  • YTL AI Lab Lancar Cikgu ILMU, AI Percuma Bantu Ibu Bapa Bimbing Pembelajaran Anak
  • XPENG Perkenal WorldGPT, Model AI Fizikal Untuk Kereta, Robot Dan Dron
©2026 WISER.MY