Roblox kini memperkenalkan dua jenis akaun baharu di Malaysia, iaitu Roblox Kids dan Roblox Select, seiring pelancaran global yang bermula hari ini.
Menurut Roblox, pengguna akan ditempatkan secara automatik dalam kategori akaun yang bersesuaian. Roblox Kids ditujukan kepada kanak-kanak lebih muda (5-8 tahun) dengan tetapan keselamatan yang lebih ketat, manakala Roblox Select disediakan untuk kanak-kanak berumur 9-15 tahun dengan akses kepada kandungan yang sedikit lebih matang.
Pengguna berumur 16 tahun ke atas pula menggunakan akaun Roblox biasa selepas melengkapkan semakan umur.

Salah satu perubahan utama ialah ciri sembang kini mewajibkan semakan umur. Pengguna yang belum melengkapkan semakan umur tidak boleh menggunakan sembang tanpa mengira umur mereka. Bagi pengguna berumur bawah 9 tahun, fungsi sembang dimatikan secara default, manakala ibu bapa masih boleh mengubah tetapan tersebut sehingga anak berumur 16 tahun.

Selain itu, permainan yang ditawarkan kepada pengguna Roblox Kids dan Roblox Select perlu melalui semakan tambahan. Roblox juga mengehadkan beberapa ciri untuk kedua-dua kategori akaun ini, termasuk tidak membenarkan permainan yang mengandungi ruang pergaulan sosial, ciri lukisan bebas atau isu sensitif.
Ciri Roblox Moments yang membolehkan pengguna berkongsi klip permainan pula tidak tersedia untuk pengguna Kids dan Select.
Pada masa sama, Roblox mengetatkan perkongsian pautan media sosial. Kini, pautan hanya boleh dikongsi atau dilihat oleh pengguna berumur 16 tahun ke atas yang telah melengkapkan semakan umur, termasuk pada profil pengguna, halaman permainan, Community dan Creator Hub.

Bagi ibu bapa yang menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak, Roblox menyediakan pelbagai kawalan tambahan seperti menetapkan had masa skrin dan perbelanjaan, menyemak senarai rakan, mengurus permintaan Trusted Friends serta membenarkan atau menyekat permainan tertentu.
Apabila anak meningkat usia, sebahagian kawalan akan dipindahkan kepada mereka, namun ibu bapa masih boleh melihat maklumat seperti masa skrin, senarai rakan dan aktiviti perbelanjaan.
Roblox memaklumkan umur, permainan, ciri dan tetapan standard bagi Roblox Kids dan Roblox Select mungkin berbeza mengikut rantau.
{suggest}
