Pusat data ketika ini menyumbang 9.28% daripada jumlah penggunaan elektrik negara, dengan jangkaan permintaan tenaga akan meningkat pada suku keempat tahun ini.
Menurut laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh, berkata penggunaan elektrik pusat data mungkin berbeza mengikut keadaan cuaca, memandangkan sistem penyejukan memerlukan lebih banyak tenaga ketika cuaca panas.
“Kami menjangkakan permintaan kuasa meningkat pada suku keempat tahun ini kerana terdapat beberapa pusat data yang dijangka beroperasi pada November ini. Pada masa ini permintaan kuasa melebihi 21 gigawatt. Jadi kami tidak menjangkakan ia akan meningkat terlalu banyak dari segi kapasiti puncak, tetapi dengan lebih banyak pusat data bakal beroperasi kelak, penggunaan tenaga dijangka bertambah,” katanya kepada pemberita di luar Forum Energy Regulatory Insights (ERI) 2026.
Mengenai kemungkinan sama ada penggunaan elektrik oleh pusat data akan dihadkan, Siti Safinah berkata tiada had khusus ditetapkan kerana kelulusan adalah berdasarkan kapasiti sistem kuasa yang tersedia.
“Seiring dengan peningkatan sistem, pusat data, seperti pelabur lain, boleh masuk berdasarkan apa yang boleh dibekalkan oleh sistem dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Pada masa sama, pengendali pusat data juga boleh melabur secara langsung dalam pembangunan tenaga boleh baharu melalui Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
Menurutnya, ST mempunyai senarai permohonan berjumlah kira-kira 3 gigawatt, dengan beberapa projek sudah mencapai peringkat lanjutan.
Mengulas lanjut, beliau berkata tiada kapasiti penjanaan gas tambahan dijangka beroperasi penuh pada 2027, yang menyebabkan kapasiti sedia ada perlu dioptimumkan untuk memenuhi permintaan elektrik. Ketika ini, gas menyumbang kira-kira 55% daripada kapasiti penjanaan dan dijangka memainkan peranan yang lebih besar sebagai bahan api peralihan dalam campuran tenaga negara menjelang 2050.
ST juga telah mengenal pasti keperluan penjanaan kumulatif sekitar lapan gigawatt untuk tempoh 2029 hingga 2031 di bawah kitaran perancangan tiga tahun terkininya.
Siti Safinah berkata jawatankuasa perancangan ST menyemak keperluan sistem elektrik negara dua kali setahun untuk menangani perubahan dalam sektor tenaga yang semakin dinamik.
Sementara itu, Pengerusi ST Datuk Seri Asri Hamidon berkata pembaharuan tenaga bukan lagi hanya sekadar mengubah campuran tenaga, tetapi juga mengenai daya saing ekonomi Malaysia dan memastikan sistem tenaga dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping kekal berpatutan, selamat, andal dan terjamin.
Beliau berkata pelaksanaan pembaharuan memerlukan dasar, peraturan, reka bentuk pasaran, infrastruktur dan pelaburan bergerak seiring, dengan industri memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat negara itu.
{suggest}
