Samsung Electronics memperkenalkan Odyssey G6, monitor gaming baharu yang didakwa sebagai monitor pertama di dunia menawarkan kadar segar semula sehingga 1,100Hz.
Monitor bersaiz 27 inci ini direka khas untuk pemain kompetitif yang memerlukan tindak balas pantas dan pengalaman permainan yang lebih lancar.
Salah satu ciri utama Odyssey G6 ialah mod dwi yang membolehkan pengguna memilih antara resolusi HD pada kadar segar semula maksimum 1,100Hz atau resolusi QHD (2560 x 1440) pada kadar segar semula sehingga 600Hz.
Pilihan ini memberi fleksibiliti kepada pemain sama ada untuk mengutamakan kelancaran maksimum atau kualiti imej yang lebih tinggi.
Monitor ini menggunakan panel Fast IPS dengan masa tindak balas 1ms GtG bagi mengurangkan kesan kabur dan meningkatkan ketepatan paparan ketika memainkan permainan berintensiti tinggi.
Samsung turut memperkenalkan teknologi Odyssey Clear Motion yang bertujuan meningkatkan kejelasan pergerakan dalam adegan pantas.
Dari aspek visual, Odyssey G6 menyokong HDR10+ GAMING yang membantu menghasilkan paparan lebih terang, kontras lebih baik dan warna yang lebih hidup.
Fungsi Black Equalizer pula membolehkan pemain melihat objek dengan lebih jelas dalam kawasan gelap permainan.
Bagi memastikan pengalaman permainan lebih lancar, monitor ini menyokong teknologi NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium bagi mengurangkan masalah screen tearing serta stuttering.
Dari segi sambungan, ia dilengkapi satu port DisplayPort 2.1, dua port HDMI 2.1 dan ciri Auto Source Switch+ yang mampu mengesan serta menukar sumber input secara automatik.
Odyssey G6 akan tersedia secara global pada separuh kedua tahun 2026 ini.


