Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Teknologi Baharu Pusat Data AI Didakwa Tidak Perlu Lagi Guna Air Hampir Sepenuhnya

Posted on September 7, 2026September 7, 2026

Pusat data kini berdepan kemarahan awam di Amerika Syarikat berhubung penggunaan bekalan air dan tenaga elektrik yang terlalu tinggi.

Gergasi teknologi yang membelanjakan berbilion dolar untuk pusat-pusat data ini menyatakan bahawa isu penggunaan air sekurang-kurangnya masih boleh diatasi.

Pusat data merupakan gudang yang dipenuhi pelayan komputer untuk mengendalikan perkhidmatan internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kian berkembang.

Suhu komputer ini boleh menjadi sangat panas, dan proses menyejukkannya memerlukan sejumlah air yang banyak.

Gergasi cip Amerika Syarikat, Nvidia, menyatakan dalam laporan bulan Jun bahawa mereka mampu menghapuskan penggunaan air hampir sepenuhnya di sesetengah fasiliti apabila menggunakan DSX, iaitu sistem terbaharu mereka bagi mereka bentuk dan mengurus pusat data AI.

Ia merupakan satu dakwaan yang berani, dan pihak industri kini berada di bawah tekanan yang semakin meningkat untuk merealisasikannya.

Pada tahun 2025, pusat data menggunakan 222 bilion liter (59 bilion gelen) air di seluruh dunia untuk tujuan penyejukan, menurut firma rundingan Rystad Energy.

Tanpa langkah penyesuaian, angka tersebut dianggarkan boleh meningkat hampir tiga kali ganda kepada 644 bilion liter menjelang tahun 2030, mengikut anggaran Rystad.

Langkah-langkah untuk mengehadkan pertumbuhan ini bagaimanapun mampu mengekalkan ketersediaan penggunaan air di bawah paras dua kali ganda.

Kaedah baharu Nvidia menggunakan sistem penyejukan litar tertutup di mana cecair mengalir secara terus melalui pelayan, sedekat mungkin dengan cip yang suhunya boleh meningkat melebihi 80°C (176°F).

Isunya ialah “terdapat kaitan imbal balik (trade-off) yang agak jelas antara jumlah air yang digunakan dan jumlah tenaga yang diperlukan” untuk kawalan suhu, kata Andy Masley, seorang penyelidik bebas yang mengkaji bidang AI dan pusat data.

Mengurangkan penggunaan air kebiasaannya bermakna penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi kerana cecair di dalam paip terkedap itu masih perlu disejukkan, selalunya dengan menghembuskan udara ke atasnya dan proses itu memerlukan tenaga elektrik.

Nvidia mengatasinya dengan membiarkan cecair masuk ke dalam pelayan pada suhu yang lebih hangat daripada biasa, iaitu pada 45°C.

Kebanyakan sistem litar tertutup lain beroperasi pada suhu sekitar 32°C pada tahun 2024, menurut Uptime Institute yang mertauliahkan pusat data.

Dengan bermula pada suhu air yang lebih hangat, Nvidia tidak perlu mempam masuk udara sejuk sepanjang tahun.

 

“Kipas mudah untuk memutarkan udara” sering kali sudah mencukupi, walaupun kadangkala gabungan pelbagai kaedah masih diperlukan, kata Josh Parker, ketua kelestarian Nvidia.

Di fasiliti yang terletak dalam iklim melampau, atau semasa gelombang haba, aliran udara sejuk atau pemeluwapan air masih tetap diperlukan.

Perhubungan Awam

Microsoft, Amazon Web Services (AWS), dan Meta memberitahu AFP bahawa mereka turut menggunakan sistem litar tertutup, yang menurut mereka tidak melibatkan sebarang kehilangan air bersih (no net water loss).

Dua gergasi pengkomputeran awan itu, yang sedang memperluaskan fasiliti pusat data gergasi mereka, menggunakan lebih banyak air secara keseluruhan antara tahun 2022 dan 2025.

Namun begitu, kecekapan penggunaan air mereka meningkat sebanyak 25 peratus di Microsoft dan 37 peratus di AWS, mengikut laporan kelestarian terkini mereka.

Walau bagaimanapun, tiada keselarasan merentasi industri dalam cara syarikat melaporkan data mengenai usaha berkaitan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).

Syarikat SpaceX milik Elon Musk, yang kini menjadi pemain utama dalam pusat data selepas mengambil alih syarikat AI miliknya, xAI, tidak pernah menerbitkan sebarang laporan ESG.

Pada bulan Jun, agensi penarafan MSCI memberikan SpaceX skor ESG yang paling rendah.

 

“Oleh sebab kos air secara umumnya jauh lebih murah berbanding tenaga elektrik,” syarikat mempunyai kurang dorongan untuk mengurangkan penggunaan air atas faktor kos semata-mata, kata Shaolei Ren, seorang profesor kejuruteraan di University of California, Riverside.

“Memang wujud dorongan,” kata Ren, “tetapi ia lebih berkait rapat dengan perhubungan awam di tengah-tengah penentangan awam yang kian meningkat terhadap pusat data di seluruh Amerika Syarikat.”

Satu lagi halangan ialah kerja-kerja menaik taraf pusat data lama kepada teknologi baharu yang kurang menggunakan air adalah sangat mahal.

Perkara itu mungkin tidak seburuk yang disangkakan.

Pusat data lama adalah lebih kecil dan kurang berkuasa berbanding fasiliti baharu yang berskala gergasi yang sedang dibina sekarang, jadi ia memerlukan kurang penyejukan pada peringkat awal lagi, kata Minh K. Le, yang memimpin penyelidikan pusat data dan hidrogen di Rystad.

Lagipun, penggunaan air secara langsung oleh pusat data hanyalah sebahagian daripada keseluruhan gambaran.

Air turut digunakan untuk menjana tenaga elektrik yang membekalkan kuasa kepada pusat data, serta untuk mengilangkan cip dan pelayannya.

Di Amerika Syarikat, penggunaan air ‘tersembunyi’ ini boleh mencapai dua kali ganda berbanding jumlah yang digunakan oleh pusat data itu sendiri. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress