Nak tambah sijil kemahiran untuk dimasukkan ke dalam resume atau profil LinkedIn? Kini, rakyat Malaysia berpeluang mengikuti pelbagai kursus dalam talian dan mendapatkan sijil melalui platform pembelajaran Coursera secara percuma selama tiga bulan menerusi inisiatif Pas Pembelajaran Global (Global Learning Pass).
Program yang diperkenalkan oleh Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation ini dilaksanakan menerusi portal Rakyat Digital dengan menyediakan akses kepada lebih 16,000 kursus, projek berpandu (Guided Projects) dan program Sijil Profesional (Professional Certificates).
Yang menariknya, kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi, sains data, perniagaan, dan literasi digital. Anda juga berpeluang mempelajari kemahiran daripada universiti terkemuka serta syarikat teknologi antarabangsa.
Antara beberapa perkara yang anda perlu ambil tahu tentang tawaran sijil Coursera percuma dan cara untuk mendapatkannya.
Apa itu Coursera?
Coursera ialah sebuah platform pembelajaran dan kursus dalam talian yang menawarkan pelbagai kursus, sijil profesional, dan program ijazah dengan kerjasama universiti serta syarikat terkemuka di seluruh dunia.
Antara penyedia kursus yang boleh ditemui di platform ini termasuk Google, IBM, Microsoft dan universiti seperti Yale, Stanford, dan Universiti Malaya. Anda boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian mengikut masa masing-masing tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal.
Selain kursus biasa, Coursera turut menawarkan program Sijil Profesional yang memberi tumpuan kepada kemahiran khusus untuk membantu peserta dalam meningkatkan pengetahuan dan persediaan dalam bidang kerjaya tertentu.
Jenis Kursus dan Sijil Yang Boleh Diterokai

Melalui Pas Pembelajaran Global, mempunyai banyak jenis sijil yang ditawarkan dan anda boleh mengakses lebih 16,000 pilihan pembelajaran di Coursera. Antaranya termasuk:
Kursus Kecerdasan Buatan (AI)
Kursus ini sesuai untuk mereka yang ingin memahami teknologi AI dan cara menggunakannya dalam pembelajaran atau pekerjaan. Antara topik yang boleh diterokai termasuk asas AI, pembelajaran mesin (machine learning) dan penggunaan AI generatif.
Kursus Teknologi dan Sains Data
Bagi yang berminat dalam bidang teknologi, terdapat kursus berkaitan dengan pengaturcaraan, analisis data, pengkomputeran awan (cloud computing) dan keselamatan siber.
Pembelajaran ini dapat membantu peserta memahami kemahiran teknikal yang semakin diperlukan dalam pelbagai industri.
Kursus Perniagaan dan Pengurusan
Coursera turut menyediakan kursus berkaitan pengurusan projek, pemasaran digital, kepimpinan dan strategi perniagaan.
Kursus seperti ini boleh membantu peserta meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan penyelesaian masalah.
Sijil Profesional (Professional Certificates)
Selain kursus individu, peserta juga boleh menerokai program Sijil Profesional yang dibangunkan bersama syarikat dan organisasi industri.
Program ini biasanya menggabungkan beberapa modul pembelajaran, tugasan praktikal dan penilaian untuk membantu peserta membina kemahiran dalam bidang tertentu.
Apa Kelebihan Sijil Coursera?
Sijil yang diperoleh selepas melengkapkan kursus boleh digunakan sebagai bukti bahawa anda telah mengikuti dan menyelesaikan pembelajaran dalam sesuatu bidang.
Antara kegunaannya termasuk menambah maklumat kemahiran dalam resume, mempamerkan pencapaian pada profil LinkedIn serta menunjukkan usaha anda untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang tertentu.
Walau bagaimanapun, sijil penyertaan atau penyelesaian kursus ini bukan pengganti kepada kelayakan akademik atau lesen profesional yang diiktiraf. Nilainya pun bergantung pada jenis kursus, penyedia dan keperluan pihak yang menilainya.
Cara Mendapatkan Akses Coursera Secara Percuma
Untuk menyertai inisiatif ini, anda perlu membuat pendaftaran melalui portal rasmi Rakyat Digital. Berikut ialah langkah-langkah yang anda perlu lakukan:
Cara Mendapatkan Coursera Secara Percuma
Layari portal Rakyat Digital (https://rakyatdigital.gov.my/). Daftar atau log masuk ke akaun menggunakan MyDigital ID. Cari bahagian 'Pas Pembelajaran Global' atau 'Global Learning Pass'.
Lengkapkan pendaftaran dan sertai senarai menunggu lesen Coursera. Pastikan alamat e-mel yang didaftarkan masih aktif.
Tunggu e-mel jemputan daripada pihak Coursera untuk mengaktifkan lesen.
Selepas menerima e-mel jemputan daripada Coursera, anda perlu mengaktifkan lesen dan melengkapkan satu kursus wajib yang ditetapkan dalam tempoh tujuh hari. Kursus wajib ini mengambil masa kira-kira 120 minit.
Lesen percuma ini sah selama tiga bulan bermula daripada tarikh e-mel jemputan pengaktifan dihantar. Anda juga perlu melengkapkan video pembelajaran, kuiz dan penilaian yang ditetapkan untuk memperoleh sijil yang berkaitan.
Syarat Kelayakan dan Tempoh Tawaran
Inisiatif Pas Pembelajaran Global ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyDigital ID dan berdaftar di portal Rakyat Digital.
Antara perkara penting yang perlu diketahui:
- Akses Coursera diberikan secara percuma dalam tempoh tiga bulan.
- Pendaftaran tertakluk kepada ketersediaan lesen.
- Permohonan dibuat sekali sahaja bagi setiap peserta.
- Lesen tidak boleh dipindah milik atau dikongsi dengan orang lain.
- Kegagalan mengaktifkan lesen dan melengkapkan kursus wajib dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan akses dibatalkan.
Menurut Kementerian Digital, sebanyak 25,000 lesen tambahan Pas Pembelajaran Global telah dibuka pada 30 Oktober 2026 susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia.
Program ini menyasarkan 100,000 lesen secara keseluruhan, yang diagihkan secara berperingkat mengikut kohort. Pemohon yang belum mendapat lesen boleh berada dalam senarai menunggu sementara menantikan kekosongan seterusnya.
Penutup
Secara keseluruhannya, inisiatif Pas Pembelajaran Global ini merupakan peluang yang baik untuk rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dan menambah sijil dalam bidang yang diminati tanpa perlu mengeluarkan wang untuk langganan selama tiga bulan.
Dengan pilihan lebih 16,000 kursus daripada pelbagai institusi dan syarikat antarabangsa peserta boleh memanfaatkan tempoh tersebut untuk mempelajari kemahiran baharu mengikut keperluan masing-masing.
Jadi, sekiranya anda ingin menambah pengetahuan, meningkatkan kemahiran digital atau mengukuhkan profil resume, jangan lepaskan peluang untuk menerokai kursus yang ditawarkan melalui Coursera.





