Juri di Mahkamah Daerah di Amerika Syarikat kini membebaskan Huawei daripada pertuduhan konspirasi di bawah Akta RICO (Racketeer Influenced and Corrupt Organizations Act).
Secara ringkas, Akta RICO merupakan undang-undang AS yang digunakan untuk membanteras kegiatan jenayah berpola melalui sesuatu organisasi atau perusahaan. Huawei sebelum ini berdepan pertuduhan berkaitan akta tersebut yang dikemukakan oleh kerajaan AS.
Mengulas keputusan itu, Huawei menyifatkannya sebagai pengesahan bahawa dakwaan berkenaan tidak mempunyai asas fakta dan mengukuhkan pendirian yang telah dipertahankannya sepanjang lapan tahun lalu.
“Kami berpendapat bahawa baki pertuduhan yang dikemukakan oleh kerajaan (AS) juga tidak mempunyai asas dari segi undang-undang mahupun fakta,” menurut Huawei dalam kenyataannya.
Syarikat itu turut menjelaskan lima pertikaian berkaitan rahsia dagangan yang dirujuk kerajaan AS merupakan kes sivil yang telah diselesaikan sepanjang dua dekad lalu. Menurut Huawei, tiada mahkamah pernah memutuskan bahawa syarikat itu bertanggungjawab atas penyalahgunaan harta intelek secara sengaja atau mengarahkannya membayar ganti rugi berkaitan penyalahgunaan rahsia perdagangan.
Terdahulu, juri persekutuan di Brooklyn, New York memutuskan Huawei dan tiga anak syarikatnya didapati bersalah atas 10 daripada 12 pertuduhan jenayah yang dihadapinya, menurut laporan Reuters.
Sabitan itu merangkumi penipuan bank dan pindahan wang elektronik, pelanggaran sekatan perdagangan AS serta konspirasi mencuri rahsia dagangan syarikat AS. Jabatan Kehakiman AS (DOJ) turut menyenaraikan konspirasi pengubahan wang haram antara kesalahan yang disabitkan.
Dua pertuduhan yang tidak membawa kepada sabitan ialah konspirasi di bawah Akta RICO dan konspirasi menghalang keadilan.
DOJ menetapkan 14 September 2027 sebagai tarikh penjatuhan hukuman terhadap Huawei. Syarikat itu berkemungkinan berdepan penalti kewangan, termasuk denda jenayah, pelucuthakan (forfeiture) aset dan bayaran pampasan kepada pihak yang terjejas.
Susulan keputusan itu, Huawei berkata pihaknya akan meneliti keputusan mahkamah berkaitan dan mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu bagi mempertahankan hak serta kepentingannya.
