Kioxia memperkenalkan prototaip teknologi memori baharu, XL-FLASH Generasi 3, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan aplikasi kecerdasan buatan (AI), pusat data dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi.
Teknologi ini akan dipamerkan semasa KIOXIA Forum di Tokyo sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk membangunkan penyelesaian storan yang lebih pantas dan cekap.
XL-FLASH Generasi 3 menawarkan latensi bacaan purata hanya 3 mikro saat, menjadikannya jauh lebih pantas berbanding memori NAND Flash konvensional.

Menurut Kioxia, teknologi baharu ini berupaya memberikan latensi bacaan kurang daripada satu persepuluh berbanding produk BiCS FLASH Generation 8 TLC syarikat itu.
Selain prestasi lebih tinggi, XL-FLASH Generasi 3 juga menawarkan peningkatan kecekapan tenaga sekitar 135% untuk operasi bacaan 512 bait berbanding XL-FLASH Generasi 2.
Memori ini dibangunkan menggunakan teknologi CMOS directly Bonded to Array (CBA) yang turut digunakan pada platform BiCS FLASH.
Gabungan teknologi tersebut membolehkan peningkatan ketumpatan bit sehingga 70% berbanding generasi sebelumnya tanpa menjejaskan prestasi.
Kioxia percaya XL-FLASH Generasi 3 dapat membantu pusat data AI mengembangkan kapasiti memori, mengurangkan penggunaan tenaga dan menurunkan kos pemilikan keseluruhan.
Teknologi ini juga berpotensi digunakan dalam SSD berprestasi tinggi serta modul pengembangan memori berasaskan Compute Express Link (CXL).
Sampel penilaian XL-FLASH Generasi 3 dijadualkan mula dihantar kepada pelanggan terpilih pada Mac 2027.
