Kerajaan sedang meneliti kemungkinan meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan kad pengenalan dipaparkan secara digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo menjelaskan ketika ini, terdapat kekangan undang-undang yang menyebabkan kad pengenalan tidak boleh dipaparkan dalam bentuk digital seperti lesen memandu.
“Kita ada IC sekarang tapi kalau Kulim (Tuan Roslan Hashim) cuba untuk akses IC secara digital, Kulim tidak akan melihat IC, tapi butiran itu ada. Lain kalau kita akses license. Lesen JPJ itu dalam skrin kita, kita nampak lesen tersebut. Tapi, ini kerana undang-undang tidak membenarkan supaya IC itu diberikan secara digital,” katanya di Dewan Rakyat semalam, seperti yang direkodkan dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat (Hansard).
Justeru, beliau berkata kementerian sedang melihat kemungkinan untuk mengubah undang-undang berkenaan bagi membolehkan kad pengenalan diakses dalam bentuk digital.
Selain kad pengenalan, pihaknya turut mencadangkan supaya dokumen peribadi lain seperti pasport, sijil kelahiran dan surat nikah dapat dihimpunkan dalam satu aplikasi.
Pertindihan aplikasi kerajaan
Dalam sesi perbahasan sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, turut membangkitkan isu pertindihan aplikasi kerajaan yang menyebabkan rakyat terpaksa menggunakan pelbagai platform berasingan untuk menyelesaikan urusan harian.
Menurutnya, berdasarkan kajian berkaitan, Malaysia dianggarkan mempunyai sekitar 150 hingga 200 aplikasi mudah alih rasmi kerajaan serta lebih 1,500 laman web dan portal kerajaan. Keadaan ini mewujudkan fenomena digital silo dan apps fatigue atau keletihan menggunakan aplikasi, apabila perkhidmatan kerajaan masih beroperasi secara berasingan.
Sebagai contoh, walaupun MyGOV membolehkan semakan maklumat seperti lesen memandu digital, cukai jalan dan status saman, pengguna masih perlu beralih ke aplikasi lain seperti MyJPJ dan MyBayar Saman untuk memperbaharui lesen, membayar cukai jalan atau menyelesaikan saman.
Beliau berpandangan MyGOV tidak sepatutnya sekadar menjadi direktori atau papan pemuka untuk menyemak maklumat, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai platform yang membolehkan rakyat menyelesaikan urusan kerajaan sepenuhnya dalam satu aplikasi.
Integrasi perkhidmatan dalam MyGOV
Menjawab perkara tersebut, Gobind berkata kerajaan sedang berusaha membawa sebanyak mungkin aplikasi sedia ada ke dalam MyGOV, yang dirancang menjadi single window atau satu pintu akses kepada pelbagai aplikasi kerajaan. Usaha itu dikendalikan oleh pasukan GovTech yang ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu.
Beliau turut menjelaskan integrasi sistem pembayaran akan menjadi antara perkara yang dilaksanakan dalam fasa seterusnya.
