YTL AI Labs hari ini melancarkan Cikgu ILMU, aplikasi pembelajaran kecerdasan buatan (AI) percuma yang direka khusus bagi membantu ibu bapa di Malaysia membimbing pelajaran anak-anak di rumah.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena acara AI Temu AI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau menyifatkan aplikasi seperti Cikgu ILMU sebagai langkah bermakna untuk merakyatkan penggunaan AI bermula daripada ibu bapa dan anak-anak.

Dikuasakan oleh model AI tempatan, ILMU, aplikasi ini dibangunkan selaras dengan silibus kebangsaan KSSR dan KSSM dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Ibu bapa hanya perlu mengambil gambar soalan kerja rumah untuk mendapatkan penerangan langkah demi langkah mengikut konteks buku teks tempatan.
Selain bantuan kerja rumah, Cikgu ILMU turut menyediakan panduan ulang kaji, kuiz pantas dengan pemarkahan automatik serta kad imbas interaktif.
Pengarah Urusan YTL Power International, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong berkata, aplikasi yang menyokong Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil ini memastikan penggunaan AI kekal selamat di bawah kawalan ibu bapa.
Cikgu ILMU kini tersedia secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.
Untuk maklumat lanjut, layari cikguilmu.ai.
