Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong

Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong

Diterbitkan November 25, 2026 ยท Dikemas kini November 25, 2026 oleh ariff bukhari

Tiga angkasawan berlepas menaiki roket China pada Rabu, termasuk seorang kru warga asing buat julung kalinya, menuju ke stesen angkasa Tiangong sebagai sebahagian daripada misi Shenzhou-24, menurut media Kerajaan China.

Beijing telah melaburkan berbilion dolar dalam program angkasa lepas China dalam usahanya untuk mendaratkan angkasawan di Bulan sebelum tahun 2030, satu perlumbaan yang turut disertai Amerika Syarikat menerusi program Artemis.

Roket Long March 2-F berlepas di tengah kepulan api dan asap pada jam 8:18 pagi (0018 GMT) dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China di bawah langit merah jambu, menurut rakaman penyiar rasmi CCTV.

Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong

Kapal angkasa itu berjaya berpisah daripada roket pembawa kira-kira 10 minit selepas pelancaran dan memasuki orbit, kata Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).

Pelancaran itu merupakan satu “kejayaan penuh”, kata agensi tersebut sambil menambah bahawa semua kru berada dalam keadaan baik.

Misi terbaharu itu dikendalikan oleh juruterbang kapal angkasa Tang Hongbo, jurutera penerbangan Wu Yi dan angkasawan dari Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali.

Ali, seorang juruterbang Tentera Udara Pakistan dan pakar muatan (payload), merupakan angkasawan asing pertama yang menyertai misi angkasa China serta warga bukan China pertama yang menaiki stesen angkasa Tiangong.

Angkasawan berusia 40 tahun itu akan menyertai penerbangan orbit singkat yang dijangka berlangsung selama kira-kira lima hari sebelum kembali ke Bumi bersama kapal angkasa Shenzhou-23, yang berlabuh di stesen angkasa Tiangong pada Mei lalu.

Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong

Agensi angkasa Pakistan memaklumkan Ali akan menjalankan eksperimen di orbit, termasuk penanaman mikroalga sebagai potensi sumber makanan dan oksigen untuk misi angkasa masa hadapan, selain menguji kesan penerbangan angkasa terhadap benih kuinoa.

Selepas memasuki orbit, kapal angkasa tersebut dijadualkan berlabuh di stesen angkasa Tiangong, sebelum kru Shenzhou-24 menyertai tiga angkasawan yang kini berada di stesen berkenaan.

Tiga angkasawan tersebut ialah Zhu Yangzhu, 40, Lai Ka-ying dan Zhang Zhiyuan, yang juga berusia 40 tahun.

Lai merupakan angkasawan pertama dari Hong Kong dan satu-satunya wanita yang berada di stesen itu ketika ini.

Ali dijadualkan pulang ke Bumi bersama Lai dan Zhang.

Sementara itu, Zhu akan kekal di stesen angkasa untuk melengkapkan misi tinggal di angkasa selama setahun penuh buat pertama kali bagi China, satu ujian ketahanan penting untuk cita-cita penerokaan Bulan serta angkasa lepas jauh pada masa hadapan.

Ali bukanlah warga Pakistan pertama ke angkasa lepas, selepas pengembara kutub yang berpangkalan di Monaco, Namira Salim, menyertai misi Galactic 04 oleh Virgin Galactic pada Oktober 2023.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sebelum ini menyifatkan misi berkenaan sebagai bukti “kepercayaan luar biasa, saling menghormati dan persaudaraan berkekalan” antara kedua-dua negara.

 

“Persahabatan Pakistan-China melangkaui puncak Himalaya, dalam perjalanannya ke angkasa lepas,” katanya.

– AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Kapal Angkasa Jepun Dalam Perjalanan Ke Bulan Planet Marikh, Dijangka Tiba Ogos 2027
  • XPENG Perkenal WorldGPT, Model AI Fizikal Untuk Kereta, Robot Dan Dron

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Cadangan Tarif AS Sehingga 25% Ke Atas Malaysia Belum Muktamad, Kerajaan Mahu Pastikan Tidak Lebih 19%
  • vivo V80 Mula Dijual 28 November, Harga Bermula RM2,499 Dengan Ganjaran Hingga RM1,583
  • Universiti Kebangsaan Taiwan Bangunkan Cip AI Jimat Tenaga
  • Nvidia Dilapor Henti Penghantaran Pelayan AI Ke Malaysia, Singapura, Thailand Dan Indonesia
  • (Video) Pemilik EV Di China Dakwa Fungsi Parkir Automatik Diaktifkan 868 Kali Dalam Satu Malam
  • Sokongan Aplikasi 32-Bit Bakal Jadi Pilihan Dalam Windows Server 2028
  • Pam Susu Wearable Anker eufy Kini Dijual Di Farmasi Terpilih, Harga Dari RM799
  • XPENG Perkenal IRON, Akan Mula 'Bekerja' Di Bilik Pameran Kenderaan Pada 2027
©2026 WISER.MY