Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
MPOB Sawit EcoTherm

MPOB Bangunkan Cecair Penyejuk Berasaskan Sawit Untuk Pusat Data

Diterbitkan Ogos 10, 2026 · Dikemas kini Ogos 10, 2026 oleh Amalina Athman

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan Sawit EcoTherm, cecair penyejuk rendaman berasaskan sawit yang berpotensi mengurangkan penggunaan air dan tenaga secara ketara dalam operasi pusat data.

Memetik laporan Bernama, Pegawai Penyelidik Kanan Unit Kejuruteraan Proses dan Reka Bentuk, Bahagian Teknologi Oleokimia Termaju MPOB Dr Noor Khairin Mohd berkata Sawit EcoTherm mengubah kaedah sistem penyejukan pusat data daripada proses yang memerlukan penggunaan air yang tinggi kepada penyelesaian penyejukan tanpa air.

Menurutnya, sistem penyejukan berasaskan air yang digunakan secara tradisional di pusat data di Malaysia dianggarkan menggunakan sebanyak 876 juta liter air sehari, yang bersamaan keperluan air hampir empat juta penduduk.

“Teknologi ini menggantikan sistem penyejukan konvensional berasaskan udara dan air. Daripada menggunakan menara penyejuk yang menggunakan banyak air melalui penyejatan, komponen pelayan direndam sepenuhnya dalam cecair dielektrik tidak konduktif yang menyingkirkan haba secara berterusan dalam sistem gelung tertutup. Sekiranya diterima pakai secara meluas, teknologi penyejukan rendaman menggunakan Sawit EcoTherm berpotensi mengurangkan permintaan air secara ketara dalam industri pusat data,” katanya kepada Bernama.

Noor Khairin berkata Sawit EcoTherm menggabungkan bahan mentah boleh baharu yang diperoleh di dalam negara dengan operasi tanpa air, kecekapan tenaga dan prestasi penyejukan tinggi. Ciri tersebut menjadikannya berpotensi digunakan dalam pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pusat data berskala besar generasi akan datang.

“Pelayan AI menghasilkan haba tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding pelayan konvensional. Oleh itu, penyejukan rendaman mampu mengendalikan beban haba yang jauh lebih tinggi berbanding penyejukan udara konvensional, sekali gus membolehkan ketumpatan pengkomputeran yang tinggi, meningkatkan kecekapan tenaga serta operasi yang lebih dipercayai untuk infrastruktur AI generasi akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sawit EcoTherm turut menyokong operator pusat data untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menangani empat keutamaan kemampanan iaitu pemuliharaan air, kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dan perlindungan alam sekitar.

Dari sudut kecekapan tenaga, teknologi ini mampu menyejukkan komponen pelayan secara terus dan mengurangkan keperluan penggunaan kipas pelayan. Ia berpotensi mengurangkan penggunaan tenaga sekitar 30 hingga 50%, yang menyumbang kepada peningkatan keberkesanan penggunaan tenaga (PUE).

Teknologi ini juga membantu mengurangkan pelepasan karbon kerana penggunaan elektrik yang lebih rendah dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tidak langsung (Skop 2).

Tambahnya lagi, Sawit EcoTherm dihasilkan daripada sehingga 95% bahan berasaskan bio boleh baharu dan berasal daripada sawit, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada cecair penyejuk berasaskan petroleum, yang meningkatkan prestasi alam sekitar secara keseluruhan.

“Ia tidak mengandungi PFAS (bebas daripada ‘bahan kimia kekal’), mudah terbiodegradasikan dan mempunyai ketoksikan ekologi yang rendah, mengurangkan risiko terhadap alam sekitar akibat kebocoran atau pelupusan tidak sengaja berbanding cecair penyejuk sintetik konvensional,” katanya.

Menurutnya, sokongan kerajaan amat penting bagi mempercepat penerimagunaan teknologi berkenaan yang memerlukan ekosistem yang tepat untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia.

Beliau berkata usaha itu memerlukan kerjasama erat antara MPOB, penyedia teknologi, pemaju pusat data, pembangun pelayan serta pengintegrasi sistem penyejukan rendaman.

Pada masa sama, projek perintis, pengesahan teknikal serta demonstrasi prestasi, kebolehpercayaan dan manfaat kos dalam jangka panjang penting untuk membina keyakinan dalam kalangan operator pusat data terhadap teknologi berkenaan.

Dengan menggabungkan sokongan kerajaan, kerjasama industri dan kepakaran Malaysia dalam bidang oleokimia, Sawit EcoTherm berpotensi menjadi antara penyelesaian penyejukan yang lebih mampan untuk menyokong perkembangan pusat data AI generasi akan datang.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Biodiesel B100: Diesel 100% Sawit, Jauh Lebih Murah Dari Diesel Konvensional
  • Pengeluaran Biodiesel B15 Melalui 19 Loji Berlesen Bermula Jun Ini - Ahmad Zahid
  • Kerajaan Kaji Potensi Teknologi Penyahgaraman Air Laut Untuk Industri, Termasuk Pusat Data - PETRA

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY