Ramai pengguna mungkin pernah berdepan situasi apabila telefon menunjukkan isyarat 4G atau 5G penuh, tetapi capaian internet masih perlahan atau langsung tidak boleh digunakan seperti yang diharapkan.
Keadaan ini kini menjadi perhatian Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), yang memberi amaran bahawa persepsi terhadap apa yang digelar sebagai “5G scam” boleh terus meningkat sekiranya pengguna masih tidak menerima kualiti perkhidmatan yang setimpal dengan bayaran mereka.
Menurut FOMCA, situasi itu boleh menjejaskan pelbagai urusan harian termasuk pembayaran dalam talian, menggunakan perkhidmatan e-hailing, akses aplikasi navigasi, penstriman serta komunikasi ketika kecemasan.
“Penjelasan teknikal mungkin memuaskan hati jurutera, namun ia tidak menyelesaikan masalah dan kekecewaan harian yang dialami pengguna,” kata FOMCA dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, isu berkenaan bukan hanya berlaku di kawasan luar bandar, malah turut dilaporkan di kawasan perumahan, sekolah, lebuh raya dan kawasan komersial walaupun telefon menunjukkan isyarat yang kuat. Justeru, statistik liputan semata-mata tidak seharusnya dijadikan ukuran kepada kualiti perkhidmatan yang diterima pengguna.
Pengguna tidak mempunyai mekanisme bebas untuk sahkan dakwaan prestasi rangkaian
Pada masa sama, organisasi itu berpandangan pengguna tidak mempunyai mekanisme bebas untuk mengesahkan dakwaan syarikat telekomunikasi berhubung prestasi rangkaian. Kebanyakan maklumat yang didedahkan kepada pengguna datang daripada industri telekomunikasi sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, kredibiliti dan akauntabiliti.
Gesa penerbitan laporan prestasi rangkaian dan audit
Lanjutan itu, FOMCA menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan penerbitan Laporan Prestasi Rangkaian dan Ketelusan Nasional setiap suku tahun. Laporan tersebut dicadangkan memaparkan pengalaman sebenar pengguna termasuk purata kelajuan muat turun dan muat naik, masa tindak balas rangkaian (latency), kadar gangguan perkhidmatan, kadar kegagalan sambungan serta prestasi rangkaian mengikut lokasi.
FOMCA turut mencadangkan supaya semua data berkenaan diaudit dan disahkan oleh pihak ketiga yang berkecuali serta dilantik oleh MCMC. Selain itu, MCMC juga perlu menjalankan audit berkala terhadap kualiti rangkaian di seluruh negara berdasarkan pengalaman sebenar pengguna. Hasil audit itu juga disaran diumumkan kepada orang ramai bagi membolehkan perbandingan yang lebih telus antara penyedia perkhidmatan.
Selain itu, FOMCA berpendapat pengguna wajar menerima rebat atau pampasan secara automatik sekiranya syarikat telekomunikasi gagal memenuhi tahap kualiti perkhidmatan yang dijanjikan. Organisasi itu juga menggesa tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penyedia yang berulang kali gagal memenuhi piawaian minimum.
Kerajaan tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada jaminan yang diberikan oleh industri telekomunikasi.. Pengguna tidak mahu diberikan penjelasan teknikal selepas mengalami perkhidmatan yang lemah. Mereka hanya mahukan satu perkara iaitu perkhidmatan internet yang boleh dipercayai, selaras dengan janji yang dibuat serta setimpal dengan yuran langganan yang mereka bayar setiap bulan.
Mengulas lanjut, FOMCA berkata transformasi digital negara tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah bar isyarat atau peta liputan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dinilai berdasarkan sama ada pengguna benar-benar menikmati capaian internet yang pantas, stabil dan tanpa gangguan di mana-mana sahaja.
{suggest}
