Perkhidmatan seperti pendaftaran perkahwinan, sijil kematian dan pembaharuan pasport akan memerlukan pemohon mempunyai MyDigital ID tidak lama lagi.
Memetik laporan The Star, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata walaupun pendaftaran MyDigital ID masih belum diwajibkan, kelayakan digital ini akan diintegrasikan di sektor awam dan swasta, termasuk perkhidmatan kewangan, kesihatan dan telekomunikasi, bermula 2026.
“Bagi meningkatkan penggunaan, kami akan mengintegrasikan MyDigital ID ke dalam perkhidmatan penting yang menerima trafik tinggi. Sasaran kami adalah penggunaan secara meluas, dan berhasrat mempercepatkan pelaksanaannya pada 2025 dan 2026 kerana MyDigital ID akan menjadi kunci tunggal untuk platform MyGOV Malaysia melalui aplikasi mudah alih, terutama di bawah Rancangan Malaysia ke-13,” katanya kepada The Star.
Tambahnya, matlamat negara adalah untuk memastikan 95% semua perkhidmatan kerajaan persekutuan berada sepenuhnya dalam talian menjelang 2030.
Sehingga 8 Disember, MyDigital ID telah mencatat kira-kira 6.36 juta pendaftaran, dengan purata 50,000 pendaftaran baharu setiap hari.
Mulai tahun depan, MyDigital ID akan diperlukan untuk pelbagai perkhidmatan termasuk saman polis, perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pembayaran kerajaan, kompaun majlis tempatan, perumahan awam, kemudahan pelancongan dan perjalanan serta bantuan kewangan kerajaan.
Setakat ini, MyDigital ID telah menjadi kunci log masuk tunggal untuk beberapa perkhidmatan, termasuk MyBayar PDRM dan SPA9. Pengguna baharu myPTPTN juga kini diwajibkan mendaftar MyDigital ID sebelum membuka akaun.
Menjelang Februari 2026, MyDigital ID akan menjadi kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ bagi warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Sementara itu, integrasi MyDigital ID dalam perkhidmatan telekomunikasi telah dimulakan secara berperingkat sejak 1 Disember 2025.
Langkah ini membolehkan pengguna menyemak semua nombor prabayar yang didaftarkan serta mempunyai pilihan log masuk ke aplikasi telco menggunakan MyDigital ID. Setiap pendaftaran SIM prabayar baharu kini turut diwajibkan melalui pengesahan MyDigital ID.
{suggest}
