Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Pelaburan eFishery Satu Penipuan Terancang – KWAP Ambil Tindakan Undang-Undang, Pemulihan Dana

Posted on Julai 16, 2026Julai 16, 2026

Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, disahkan terjejas akibat penipuan terancang (fraud) yang melibatkan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.

Sebagai rujukan, eFishery merupakan syarikat yang dipercayai membangunkan penyelesaian digital untuk sektor akuakultur, termasuk sistem pengurusan ladang ikan dan teknologi automasi pemakanan ikan berasaskan teknologi IoT.

Bagaimanapun, eFishery kemudiannya terpalit dengan skandal kewangan yang melibatkan pihak pengurusan syarikat. Memetik laporan Bernama, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dilaporkan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas kesalahan penyelewengan dan pengubahan wang haram berkaitan kes berprofil tinggi bernilai AS$300 juta.

Sebelum isu tersebut timbul, eFishery dilaporkan berjaya mengumpul kira-kira AS$200 juta (sekitar RM814 juta) menerusi pusingan pendanaan Series D. Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$47.7 juta (~RM194 juta) dilaporkan datang daripada KWAP, menurut DealStreetAsia.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat bertarikh 15 Julai 2026, Kementerian Kewangan menjelaskan keputusan pelaburan dalam eFishery ketika itu dibuat berdasarkan proses penilaian serta tadbir urus yang ditetapkan, berdasarkan pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Selain KWAP, pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar yang masing-masing mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, KWAP berkata perkembangan kemudian mendapati pelaburan tersebut merupakan satu penipuan terancang (fraud), termasuk manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery.

Susulan itu, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan serta meneruskan usaha pemulihan dana pelaburan.

KWAP turut menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan. Hasil semakan tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan tindakan susulan.

KWAP juga telah melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuhkan kawalan serta perlindungan terhadap pelaburan akan datang, selain memastikan pengurusan dana persaraan penjawat awam terus dibuat secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress