Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Buy Now Pay Later_featured image

Akaun Aktif BNPL Di Malaysia Cecah 8 Juta Pada Suku Pertama 2026

Diterbitkan Julai 16, 2026 · Dikemas kini Julai 16, 2026 oleh Amalina Athman

Jumlah pemegang akaun aktif bagi perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) di Malaysia meningkat kepada 8 juta pada suku pertama tahun 2026.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah baki terkumpul BNPL kini mencecah RM5.3 bilion, manakala tunggakan pembayaran berjumlah RM181 juta atau bersamaan 3.4% daripada keseluruhan baki terkumpul.

Menurut kementerian itu, sekitar 40% penggunaan BNPL melibatkan golongan berumur 30 tahun dan ke bawah. Kebanyakan transaksi pula melibatkan pembelian barangan harian bernilai kecil seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan, dengan purata nilai transaksi kurang daripada RM100.

Walaupun penggunaan terus meningkat, hutang BNPL masih kekal rendah, iaitu sekitar 0.3% daripada keseluruhan hutang isi rumah di Malaysia setakat akhir 2025.

Lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna

Bagi memperkukuh perlindungan pengguna, semua penyedia BNPL kini diwajibkan mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP). Keperluan ini bertujuan memastikan hanya penyedia yang memenuhi piawaian kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi.

SKP turut mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan yang perlu dipatuhi semua penyedia BNPL. Permohonan lesen telah dibuka sejak 1 Jun 2026, manakala penyedia sedia ada diberi tempoh sehingga 30 November 2026 untuk mengemukakan permohonan. Dalam tempoh itu, SKP sedang menjalankan sesi libat urus bagi memastikan penyedia memenuhi semua syarat pelesenan.

Di bawah Standard Pelakuan, penyedia BNPL diwajibkan menilai kelayakan kredit dan kemampuan kewangan pengguna sebelum meluluskan pembiayaan. Mereka juga tidak dibenarkan menawarkan atau menambah kemudahan kredit kepada pengguna yang dijangka menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran balik.

Selain itu, penyedia BNPL perlu memberikan maklumat yang jelas mengenai terma, fi dan caj yang dikenakan, di samping memastikan aktiviti pemasaran tidak mengelirukan pengguna. Langkah ini bertujuan membantu pengguna, khususnya golongan muda, membuat keputusan kewangan yang lebih bertanggungjawab.

Dalam masa sama, SKP sedang meneliti keperluan menetapkan had kadar faedah yang boleh dikenakan oleh penyedia BNPL. Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan data dan penilaian terhadap corak penggunaan, kadar pembayaran balik, tahap kemungkiran (overdue rate) serta kesannya terhadap akses kepada pembiayaan dan pembangunan industri kredit pengguna.

Kerajaan menyatakan pendekatan itu penting bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan pengguna, akses kepada pembiayaan yang bertanggungjawab serta pembangunan industri kredit yang adil dan telus.

Berkaitan

  • Hampir 170,000 Pengguna BNPL Ada Baki Tertunggak, Jumlah Dianggap Terkawal
  • BNPL, Kutip Hutang, Pajakan Bakal Dikawal Selia - RUUKP 2025 Dijangka Diwartakan Hujung Tahun Ini
  • Aplikasi CelcomDigi Kini Tawar Servis BNPL Patuh Syariah
  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
©2026 WISER.MY