Fungsi navigasi dalam aplikasi TuJu nampaknya masih belum pulih sepenuhnya apabila pengguna Android kini perlu beralih ke Google Maps untuk mendapatkan panduan arah perjalanan, manakala carian lokasi pada iOS pula masih tidak memaparkan sebarang hasil.
Melalui tinjauan, apabila pengguna Android menekan butang navigasi dalam aplikasi TuJu, satu tetingkap pengesahan akan muncul memaklumkan bahawa Google Maps akan dibuka untuk membawa pengguna ke destinasi.
Dengan kata lain, fungsi navigasi TuJu pada Android kini sekadar mengarahkan pengguna ke Google Maps, bukannya menyediakan panduan perjalanan secara terus dalam aplikasi itu sendiri. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kegunaan fungsi navigasi TuJu sekiranya pengguna masih perlu menggunakan aplikasi lain untuk mendapatkan arah perjalanan.
Bagi pengguna iOS pula, carian lokasi masih tidak memberikan sebarang hasil. Sebagai contoh, apabila lokasi Cyberjaya dimasukkan dalam ruangan carian, aplikasi hanya memaparkan mesej “No results found”.

Sebelum ini, TuJu memaklumkan pasukan teknikal sedang menjalankan kerja pemulihan dan penambahbaikan susulan gangguan pada fungsi navigasinya. Ketika itu, pihaknya menyasarkan fungsi berkenaan dapat dipulihkan selewat-lewatnya pada 6 November 2026.
Memandangkan tarikh sasaran itu masih belum tiba, pilihan untuk membuka Google Maps pada Android mungkin hanya penyelesaian sementara sepanjang kerja pemulihan dijalankan. Apa yang dinantikan ialah sama ada TuJu dapat mengembalikan fungsi navigasi seperti biasa pada kedua-dua platform, termasuk menyelesaikan masalah carian lokasi yang masih dialami pengguna iOS.
