Susulan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan penjawat awam, Pejabat Perdana Menteri kini turut mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan pertimbangan di sebalik keputusan kerajaan.
Menurut kenyataan PMO, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memutuskan larangan itu bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
“Keputusan ini mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel. Maklumat sensitif Kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Isu keselamatan data itu turut diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang memandang serius pengumpulan data lokasi, perjalanan, corak pergerakan dan maklumat peranti pengguna melalui aplikasi berkenaan.
MKN menjelaskan kebimbangan kerajaan turut mengambil kira Terma Penggunaan Waze yang memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah di daerah Tel Aviv bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatannya.
KENYATAAN MEDIA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA, JABATAN PERDANA MENTERI MENGENAI KESELAMATAN DATA DAN KEDAULATAN NEGARA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI#MalaysiaMadani#TaatSetia#PemikiranStrategikPuncaKemenangan#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama pic.twitter.com/SDqX33XL49
— MAJLIS KESELAMATAN NEGARA (@MKNJPM) October 21, 2026
Menurut MKN, maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna merupakan data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, khususnya apabila melibatkan urusan rasmi dan kepentingan strategik negara. Kemudahan teknologi, tegasnya, tidak boleh mengatasi tuntutan keselamatan negara.
Siapa yang terlibat dalam larangan penggunaan Waze?
Buat masa ini, larangan tersebut hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi sahaja.
Adakah penjawat awam digalakkan ‘uninstall’ Waze?
Walaupun larangan penggunaan aplikasi Waze pada masa ini hanya terpakai semasa menjalankan urusan rasmi kerajaan, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berkata anggota perkhidmatan awam adalah digalakkan untuk menyahpasang (uninstall) aplikasi tersebut daripada peranti masing-masing dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif tempatan yang bersesuaian.
Menurut NACSA, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maklumat negara, mengambil kira potensi pengumpulan data lokasi dan pergerakan pengguna di luar waktu bekerja, bergantung pada tetapan peranti serta kebenaran akses aplikasi.
Apakah Terma Penggunaan aplikasi Waze yang dimaksudkan?
Terma Penggunaan aplikasi Waze yang berkaitan dengan undang-undang pentadbiran dan bidang kuasa mahkamah menyatakan seperti yang berikut:
“GOVERNING LAW AND JURISDICTION – These Terms will be governed solely by the laws of the State of Israel, without giving effect to any conflicts of law principles. Any dispute, claim or controversy arising out of, connected with or relating to these Terms and the Service, will be under the exclusive jurisdiction of the competent court in the Tel Aviv district in Israel.”
Aplikasi alternatif
Sebagai alternatif, kerajaan turut menyarankan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Selain TuJu, PINTAZ turut disenaraikan sebagai pilihan aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh pembangun tempatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai larangan penggunaan Waze boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) berkaitan yang disediakan oleh NACSA melalui www.nacsa.gov.my/faq-waze.
