TuJu menyasarkan kerja pemulihan dan penambahbaikan fungsi navigasinya selesai selewat-lewatnya pada 6 November 2026, susulan gangguan yang dialami pengguna sejak beberapa hari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, pihak pengurusan aplikasi navigasi lebuh raya itu berkata pasukan teknikal ketika ini sedang menjalankan kerja pemulihan dan penambahbaikan bagi menangani masalah berkenaan.
“TuJu memohon maaf kepada pengguna yang mengalami gangguan pada fungsi navigasi sejak beberapa hari lalu. Kami mengambil serius kesulitan yang dialami serta menghargai pandangan dan teguran pengguna terhadap perkhidmatan kami… Keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan fungsi navigasi dapat beroperasi dengan stabil dan lancar, selain memenuhi keperluan perjalanan pengguna,” kata pihak pengurusan TuJu.
Sepanjang tempoh pemulihan, fungsi lain dalam aplikasi TuJu masih boleh digunakan seperti biasa. Perkembangan kerja pemulihan juga akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TuJu.
Dalam pada itu, TuJu berkata pihaknya akan terus berusaha bagi memenuhi jangkaan pengguna dan menjadikan TuJu antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia.
