Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
iOS 27.2 Cybersecurity Update

MyCERT Saran Pengguna iPhone Kemas Kini iOS 27.2 Dengan Segera

Diterbitkan November 5, 2026 oleh Amalina Athman

MyCERT kini menyarankan pengguna iPhone dan iPad supaya memasang kemas kini iOS 27.2 dan iPadOS 27.2 dengan segera.

Apple sebelum ini telah mengeluarkan kemas kini tersebut bagi menangani 163 kerentanan keselamatan (CVE) yang melibatkan lebih 80 komponen sistem. Antaranya termasuk WebKit, Kernel, ImageIO, CoreMedia, CoreGraphics, FontParser, Wi-Fi, Bluetooth dan Apple Intelligence.

Setakat ini, Apple tidak melaporkan sebarang kerentanan yang ditangani dalam iOS 27.2 telah dieksploitasi secara aktif. Namun, kemas kini tersebut membaiki lebih 30 kelemahan keselamatan pada WebKit dan kira-kira 15 kelemahan pada Kernel. Apple juga menampal kebanyakan kerentanan yang digunakan dalam demonstrasi jailbreak iOS yang baru-baru ini diperlihatkan kepada umum.

Dalam amaran keselamatan yang dikeluarkan, MyCERT menjelaskan maklumat mengenai kerentanan yang telah diterbitkan boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencari cara mengeksploitasi kelemahan tersebut.

Keadaan ini meningkatkan risiko terhadap peranti yang masih menggunakan versi terjejas dan belum menerima tampalan keselamatan berkenaan.

Risiko keselamatan

Antara risiko sekiranya kerentanan itu dieksploitasi termasuk kemungkinan penyerang melaksanakan kod berniat jahat melalui kandungan web yang direka khas. Dalam keadaan tertentu, pengguna boleh terdedah kepada serangan hanya dengan melayari laman web berkenaan atau membuka kandungan web melalui aplikasi.

Selain itu, kelemahan pada Kernel berpotensi membolehkan aplikasi berniat jahat mengakses memori sistem dan meningkatkan tahap keistimewaan akses. Eksploitasi lain pula boleh memberikan akses tanpa kebenaran kepada data peribadi pengguna, termasuk maklumat dalam Photos, Contacts, Calendar, Siri, Shortcuts, Screen Time dan Files.

Beberapa kerentanan turut melibatkan kemungkinan akses kepada kamera atau Bluetooth tanpa kebenaran pengguna. Malah, terdapat kelemahan yang boleh mendedahkan alamat e-mel sebenar pengguna ketika menggunakan ciri Hide My Email.

Bagi Apple Intelligence, satu daripada kerentanan yang dikenal pasti berpotensi membolehkan penyerang mengakses data sensitif pengguna dari jauh. Bagaimanapun, isu ini hanya melibatkan iPhone 15 Pro dan model lebih baharu serta iPad yang menyokong Apple Intelligence.

Kemas kini iOS 27.2 dan iPadOS 27.2 dengan segera

Untuk memasang kemas kini, pengguna boleh pergi ke Settings > General > Software Update > Update Now. Pengguna juga boleh mengaktifkan kemas kini automatik melalui Settings > General > Software Update > Automatic Updates.

Pada masa sama, MyCERT mengingatkan pengguna supaya tidak memasang kemas kini, aplikasi atau profil konfigurasi melalui pautan yang diterima menerusi SMS, WhatsApp, e-mel atau media sosial. Sebarang kemas kini iOS perlu dilakukan melalui menu Settings pada peranti.

Sementara itu, pengguna yang masih menggunakan iOS 26 atau iOS 18 pula disarankan memasang kemas kini keselamatan terkini yang tersedia untuk versi sistem operasi masing-masing.

  • Owners of devices older than iPhone 11 cannot receive iOS 27 and should plan device replacement.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • MyCERT: Scam "Bantuan TnG" Menyamar Sebagai TNG Digital, Sasar Ambil Alih Akaun Telegram
  • iOS 27.2 Tersedia Dengan Ciri Baharu, Lebih 160 Kelemahan Keselamatan Dibaiki
  • MyCERT Kesan Trojan Windows Disebar Melalui WhatsApp - Fail ZIP Menyamar Sebagai Dokumen Kewangan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Microsoft Patenkan AI Yang Boleh Ubah Kata-Kata Ikut Gerak Bibir Dan Ekspresi Wajah Secara Langsung Dalam Video
  • Ubat Susulan Boleh Dihantar Ke Rumah, Ini Cara Mohon Melalui MyUBAT
  • Malaysia Tingkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara Daripada Rendah Kepada Sederhana
  • Google Umum Pelaburan AS$15 Bilion Di Malaysia, Sasar 9,000 Pekerjaan Dengan Gaji Lebih Tinggi
  • Paras Gas Karbon Dioksida Dunia Telah Meningkat 3 Kali Ganda Sejak 1960 - WMO
  • HONOR Magic9 Pro Max Dengan Pengimejan ARRI Sah Ke Malaysia, Jadi Telefon Rasmi FFM35
  • UKM Jadi Institusi Pertama Di Asia Tenggara Guna Implan Suara Boleh Laras
©2026 WISER.MY