Mufti WP: Hukum 'Cash-Out' Kredit RM100 eMADANI

Awal minggu ini, kerajaan telah membuka pendaftaran dan tuntutan kredit RM100 eMADANI kepada penerima yang layak. Ia boleh dilakukan melalui empat penyedia perkhidmatan e-dompet - MAE, Setel, ShopeePay dan TNG eWallet.

{suggest}

Kerajaan menetapkan kredit itu perlu digunakan melalui pembayaran secara luar talian, dengan mengecualikan pemindahan  'peer-to-peer' atau penebusan tunai dan beberapa syarat lain.

Bagaimanapun, ada pula yang mencari inisiatif untuk cash-out kredit RM100 eMADANI dengan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan di media sosial dan lain-lain.

Persoalannya, adakah ia dibenarkan dari segi hukum? Bagaimana pula dengan caj yang dikenakan oleh perkhidmatan cash-out eMADANI? Ikuti penjelasan secara ringkas di bawah.

Hukum caj perkhidmatan penebusan tunai eMADANI


Perbuatan mengenakan caj perkhidmatan untuk pertukaran kredit eMADANI kepada bentuk tunai atau pemindahan ke bank simpanan adalah termasuk dalam perbuatan riba yang diharamkan syarak.

Berikut merupakan penjelasan berkenaan kategori riba yang mungkin berlaku dalam urusan pertukaran atau penebusan kredit eMADANI:

  • Riba al-Fadhl: Riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama.

  • Riba al-Nasi’ah: Riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan.


Hasil caj perkhidmatan yang dikenakan daripada pertukaran ini merupakan wang tidak patuh syariah yang haram digunakan. Oleh itu, nilai tambahan yang diperoleh wajib dikembalikan kepada pemiliknya. Sekiranya harta tersebut tidak dapat dikenalpasti pemiliknya, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Hukum cash-out kredit RM100 eMADANI


Sementara itu, perbuatan cash-out juga dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan.

Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan. Perbuatan ini juga dianggap melanggar undang-undang, yang mana perkara tersebut ditegah syarak tidak kira transaksi itu melibatkan riba atau tidak.

Kesimpulan


Oleh itu, sekiranya pemerintah mengeluarkan sebarang arahan atau larangan yang merupakan suatu kebaikan serta mendatangkan maslahat kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai atau tidak, tambahan ia bukan perkara maksiat maka ia wajib dipatuhi.
Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan: "Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”

Justeru, mengingkari arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan merupakan satu perbuatan yang bercanggah dengan syarak.

Wallahu A‘lam

Untuk artikel penuh, rujuk portal rasmi Mufti Wilayah Perseketuan.

Sumber: Pejabat Mufti WP