Seperti yang diketahui, kredit e-tunai RM100 eMADANI sudah pun boleh dituntut bermula hari ini, 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024.
Bagi pemohon yang layak, tuntutan kredit eMADANI boleh dibuat melalui salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan TNG eWallet.
{suggest}
Namun, pasti ada di antara pengguna yang masih keliru untuk membuat tuntutan melalui penyedia perkhidmatan yang mana satu. Lanjutan itu, berikut disenaraikan antara ganjaran tambahan yang ditawarkan oleh keempat-empat platform bagi membantu anda membuat pilihan.
TNG eWallet
TNG eWallet menawarkan baucar tambahan bernilai lebih daripada RM500. Berikut merupakan antara ganjaran yang tersedia jika anda membuat tuntutan kredit RM100 melalui TNG eWallet.
Selain itu, TNG eWallet turut menyediakan 1,000 mata ganjaran GOrewards setelah tuntutan diluluskan.
Setel
Bagi penerima eMADANI, Setel menyediakan ganjaran tambahan menerusi pulangan tunai sehingga RM80, e-baucar daripada pelbagai jenama serta mata ganjaran Mesra untuk transaksi terpilih.
Pulangan tunai akan dimasukkan ke dalam Dompet Setel tanpa sebarang batas pembayaran dan tarikh luput.
Untuk baucar daripada jenama terpilih, ia tertakluk kepada perbelanjaan minimum RM5 dengan bilangan yang terhad dan boleh diakses melalui “Ganjaran” dalam aplikasi.
ShopeePay
Dengan tuntutan melalui ShopeePay, pengguna boleh menikmati baucar tambahan bernilai RM600.
Antaranya termasuk baucar Shopee bernilai RM365 untuk baucar ShopeeLive, penghantaran percuma, pulangan ‘coin‘, Shopee Mall dan Preferred Seller. Selain itu, baucar ShopeeFood bernilai sehingga RM155, baucar SpayLater RM50 dan baucar Insurans Kereta sehingga RM30.
MAE
Pemohon yang membuat tuntutan RM100 eMADANI melalui aplikasi MAE layak mendapat 10x penyertaan bagi kempen Belanja & Menang, yang berlangsung 4 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024.
Selain itu, setiap pengguna layak juga akan mendapat 2x penyertaan apabila membayar menggunakan RM100 eMADANI melalui Scan & Pay dengan MAE – perbelanjaan minimum RM10.
Dengan semua penyenaraian ganjaran tambahan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan terlibat, anda mungkin boleh membuat keputusan sewajarnya mengikut gaya pembelian masing-masing.
Setiap tuntutan kredit RM100 yang berjaya boleh digunakan untuk pembelian di mana-mana lebih 1.8 juta peruncit/perniagaan seluruh negara. Pembayaran fizikal kod QR boleh dilakukan melalui QR e-dompet yang dipilih atau DuitNow QR dengan menggunakan fungsi Scan & Pay, dan perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 29 Februari 2024.