Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pendaftaran dan tuntutan kredit e-tunai eMADANI dibuka mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024.
Lanjutan pengumuman itu, Kementerian Kewangan kini telah mengeluarkan perincian mengenai permohonan kredit eMADANI tersebut. Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diketahui, sebelum pengguna melakukan proses tuntutan pada minggu depan.
{suggest}
Siapa yang layak?
- Warganegara Malaysia
- Berusia 21 tahun dan ke atas pada tahun 2023
- Merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023 ATAU mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai 2023.
Bila permohonan dibuka?
Permohonan kredit eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023 hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024.
Macam mana nak buat tuntutan kredit eMADANI?
Tuntutan kredit eMADANI boleh dibuat melalui salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan e-dompet berikut:
- MAE
- Setel
- ShopeePay
- Touch ‘n Go eWallet
Proses verifikasi untuk pengguna baharu dan sedia ada boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang dipilih.
Setelah permohonan dibuka pada 4 Disember nanti, ikut arahan yang disediakan melalui perkhidmatan e-dompet tersebut.
Proses tuntutan ambil masa berapa lama?
Pemohon yang layak akan menerima RM100 secara ‘one-off’ ke dalam e-dompet pilihan dalam tempoh antara 24 jam hingga 5 hari dari tarikh permohonan.
Macam mana nak guna kredit eMADANI?
Pemohon boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal sahaja di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan, KECUALI (tidak boleh digunakan) untuk tujuan berikut:
- Pemindahan ‘peer-to-peer’
- Penebusan tunai
- Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
- Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
- Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
- Pembelian permainan (‘games’) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
- Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol
- Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
- Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian
Bahasa mudahnya, kredit eMADANI boleh digunakan untuk pembelian di kedai, dengan pembayaran melalui fungsi Scan & Pay.
Bila tarikh luput penggunaan kredit eMADANI?
Sekiranya kredit berjaya dipohon, ia perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 11.59 malam, 29 Februari 2024. Selepas tarikh akhir ini, baki kredit eMADANI yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon.
Lain-lain
Penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian juga akan menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’.
Untuk maklumat lanjut, layari portal rasmi Kementerian Kewangan.