Dalam mendepani ketidaktentuan harga diesel global akibat konflik berterusan di Asia Barat, Biodiesel B100 kini dilihat sebagai penyelesaian strategik bagi mengukuhkan keselamatan tenaga negara.
B100 merupakan bahan api biodiesel tulen 100 peratus yang berasaskan minyak sawit atau palm methyl ester. Berbeza dengan campuran B10 yang digunakan secara meluas di stesen minyak sekarang, B100 berpotensi digunakan secara langsung dalam kebanyakan enjin diesel tanpa memerlukan pengubahsuaian kenderaan yang besar.
Memetik laporan The Edge Malaysia, pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyatakan bahawa B100 kini menjadi sumber tenaga alternatif yang sangat kompetitif.
Di peringkat kilang, harga B100 dianggarkan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 seliter, bergantung kepada harga minyak sawit mentah (CPO).
Angka ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan harga diesel industri semasa yang mencecah RM7 seliter, manakala campuran B10 pula berada pada paras sekitar RM6.02 seliter.
Dengan jurang harga yang besar ini, B100 bukan sahaja mampu menjimatkan kos operasi sektor pengangkutan, malah membantu menstabilkan harga bahan api domestik.
Keberkesanan bahan api ini telah pun dibuktikan melalui siri ujian rintis yang dijalankan oleh FELDA dan FGV. Bermula tahun 2024, ujian selama empat bulan melibatkan lori tangki telah mencatatkan kejayaan tanpa sebarang masalah besar.
Manakala bagi tahun 2025 sehingga 2026, ujian fasa kedua telah dilaksanakan ke atas kenderaan penumpang seperti Mazda CX-8 yang menempuh jarak perjalanan melebihi 50,000 km. Keputusan setakat ini menunjukkan tiada isu ketara pada prestasi enjin, sekali gus membuktikan kestabilan B100 untuk kegunaan jangka panjang.
Selain faktor penjimatan, pelaksanaan B100 membawa kelebihan besar kepada industri sawit tempatan dengan meningkatkan permintaan minyak sawit yang secara langsung memberi manfaat kepada pekebun kecil.
Sebagai bahan api yang boleh diperbaharui (renewable), ia juga jauh lebih mesra alam kerana mampu mengurangkan pelepasan karbon berbanding diesel fosil. Langkah ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import bahan api fosil, terutama ketika pasaran global sedang bergolak.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan secara besar-besaran masih berdepan cabaran dari segi bekalan minyak sawit mentah (CPO) yang mencukupi serta keperluan dasar kerajaan yang lebih jelas.
Memetik kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery melalui RTM, beliau telah membangkitkan isu ini kepada kepimpinan tertinggi negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara menanti dasar tersebut diperhalusi, B100 dijangka akan mula dilaksanakan di dalam ekosistem dalaman FELDA terlebih dahulu sebagai langkah awal sebelum diperluaskan ke peringkat nasional.
{suggest}
