Maxis baru-baru ini telah memenangi kategori Digital – Telekomunikasi pada Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026 menerusi pembangunan platform Papan Pemuka Pengesanan Stesen Pemancar Pangkalan (BTS) Palsu.
Platform ini dibangunkan untuk mengesan ancaman daripada BTS yang tidak sah, atau palsu, dengan menyediakan maklumat kritikal bagi menyokong tindakan oleh pihak pengawal selia.
Menurut Maxis, penipu biasanya menggunakan peralatan haram tersebut untuk meniru menara rangkaian sah. Peranti mudah alih berhampiran kemudian akan bersambung dengan “menara” tersebut tanpa disedari pengguna. Taktik ini berpotensi mendedahkan pengguna kepada SMS penipuan serta gangguan perkhidmatan setempat.
“Bagi menangani ancaman tersebut, papan pemuka BTS palsu ini mengintegrasikan analitik data termaju untuk memantau dan mengenal pasti anomali rangkaian secara berterusan. Platform ini yang dibangunkan secara dalaman amat adaptif bagi memastikan ia dapat membanteras taktik penipuan yang baharu dan sentiasa berubah,” kata Maxis.
Melalui pendekatan ini, ia membolehkan pembezaan lebih jelas antara isu rangkaian biasa dan aktiviti berniat jahat. Pada masa sama, maklumat yang dikumpul turut membantu pihak pengawal selia serta agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengambil tindakan lanjut.
Maxis turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik inisiatif syarikat dalam membendung penipuan melibatkan BTS palsu.
Pelaksanaan platform ini melengkapkan usaha berterusan Maxis dalam memperkukuh keselamatan rangkaian, selain meningkatkan tahap perlindungan kepada pengguna daripada ancaman penipuan digital.
{suggest}
