Microsoft mengumumkan peluasan infrastruktur awannya menerusi rantau awan baharunya yang dikenali sebagai Southeast Asia 3 (SEA3), yang terletak di Johor Bahru.
Langkah strategik ini bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan dan kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.
Microsoft menyatakan, SEA3 dijangka menyediakan keupayaan pemprosesan data yang lebih pantas, selamat dan berskala untuk pelanggan di rantau ini.
Apabila beroperasi nanti, SEA3 akan menjadi wilayah awan kedua Microsoft di negara ini, melengkapi Malaysia Barat di kawasan Greater Kuala Lumpur dan bakal berkembang menjadi wilayah awan terbesar Microsoft di Asia Tenggara.

Pada masa yang sama, Microsoft turut menekankan aspek kelestarian di mana pusat data akan datang ini dibina khas supaya tidak membazirkan air untuk sistem penyejukan.
Ia menggunakan teknologi penyejukan cecair terus pada cip melalui sistem gelung tertutup dengan air yang sama akan terus dikitar semula antara pelayan dan mesin penyejuk.
Ini membolehkan sistem beroperasi tanpa memerlukan bekalan air baharu secara berterusan, sekali gus menjimatkan penggunaan air dan mencapai tahap Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) yang sangat cekap.

Microsoft turut membantu pembangunan komuniti termasuk mewujudkan program latihan kemahiran pusat data untuk graduan tempatan dan projek keusahawanan sosial.
Syarikat itu juga menyokong projek pemuliharaan hutan bakau dan sistem tadahan air hujan di sekolah-sekolah Johor menerusi kerjasama dengan CLEAN International dan Water Watch Penang serta sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk memasang sistem pengumpulan air hujan di 42 sekolah Johor yang membawa manfaat kepada 20,000 orang dan menjimatkan air berjumlah 8.4 juta liter setahun.

Southeast Asia 3 akan menjadi tambahan terbaharu kepada lebih daripada 70 rantau global Microsoft Azure.
Dalam usaha mempercepat pembangunan bakat digital negara, Microsoft memaklumkan lebih 734,000 rakyat Malaysia telah menerima latihan AI menerusi program AIForMYFuture, dengan sasaran mencapai 800,000 peserta.
Pelaburan berterusan ini membuktikan komitmen Microsoft untuk memacu transformasi AI Malaysia sambil memperkukuhkan ekosistem digital dan ekonomi negara pada masa hadapan.
