Xiaomi hari ini melancarkan tiga peranti boleh pakai baharu di Malaysia, iaitu jam pintar Xiaomi Watch S5, gelang pintar Xiaomi Smart Band 11 dan fon telinga Xiaomi Clip.
Ketiga-tiganya menawarkan fungsi berbeza mengikut keperluan pengguna. Watch S5 41mm memfokuskan ciri pintar dan pemantauan kesihatan, manakala Smart Band 11 menawarkan fungsi kecergasan harian. Xiaomi Clip pula merupakan fon telinga jenis klip open-ear pertama Xiaomi, yang membolehkan pengguna mendengar audio tanpa menutup saluran telinga.
Xiaomi Watch S5 41mm
Xiaomi Watch S5 41mm dilengkapi skrin AMOLED 1.32-inci dengan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits. Ia menggunakan binaan keluli tahan karat setebal 9.9mm dan bateri 590mAh yang didakwa mampu bertahan sehingga 14 hari.

Jam pintar ini menyokong lebih daripada 150 mod sukan serta ciri Health Summary yang menganalisis lebih 50 metrik berkaitan kesihatan, tidur dan kecergasan. Ia turut menggunakan Sleep Algorithm 2.0 yang dikatakan menambah baik ketepatan pengesanan waktu tidur dan bangun sebanyak 11%, serta pemantauan Sleep HRV dengan ketepatan peringkat tidur sebanyak 14%.
Antara ciri menarik lain ialah sokongan Google Wallet melalui NFC untuk pembayaran tanpa sentuh terus dari pergelangan tangan. Bagaimanapun, fungsi ini hanya akan tersedia menerusi kemas kini OTA pada Februari 2027 dan bergantung pada bank yang disokong.

Xiaomi Watch S5 41mm ditawarkan dalam warna Black, Light Blue dan Ceramic White. Dua pilihan pertama menggunakan bezel keluli tahan karat bersama tali fluororubber, manakala Ceramic White hadir dengan bezel seramik dan tali kulit asli.
Xiaomi Smart Band 11
Xiaomi Smart Band 11 hadir dengan skrin AMOLED 1.72-inci yang menawarkan kecerahan puncak sehingga 2,000 nits. Baterinya pula didakwa mampu bertahan sehingga 21 hari bagi versi standard dan 18 hari untuk model NFC dalam mod ringan.

Untuk pemantauan kesihatan dan kecergasan, ia menyokong lebih 150 mod sukan, pengesanan automatik enam jenis aktiviti serta pemantauan kadar denyutan jantung dengan ketepatan sehingga 98.2% menurut ujian Xiaomi. Ia turut menawarkan pemantauan tidur menerusi Sleep Algorithm 2.0 dan Sleep HRV.
Gelang pintar ini juga mempunyai ketahanan air 5ATM serta menyokong pemantauan kadar denyutan jantung ketika berenang.
Dikuasakan Xiaomi HyperOS 4, Smart Band 11 boleh disambungkan kepada telefon Xiaomi yang serasi dan iPhone secara serentak untuk menerima pemberitahuan daripada kedua-dua peranti.

Versi standard hadir dengan bingkai aluminium dalam warna Midnight Black, Glacier Silver, Mystic Rose dan Moon Gold. Model NFC pula ditawarkan dalam warna Pearl White dengan kemasan seramik serta Lavender Purple dengan binaan logam penuh.
Xiaomi Clip
Sebagai fon telinga jenis klip open-ear pertama Xiaomi, Xiaomi Clip direka supaya tidak menutup saluran telinga ketika digunakan.
Setiap unit earbud mempunyai berat sekitar 5.5 gram. Bahagian klipnya diperbuat daripada bahan logam fleksibel yang boleh disesuaikan mengikut bentuk telinga. Reka bentuknya juga membantu mengagihkan tekanan dengan lebih sekata supaya selesa dipakai dalam tempoh panjang.

Dari segi audio, ia menggunakan pemacu dinamik 11mm serta menyokong Hi-Res Audio Wireless dan LHDC 5.0 pada peranti yang serasi. Sistem empat mikrofon bersama teknologi pengurangan hingar berasaskan AI turut disediakan untuk membantu menghasilkan panggilan suara yang lebih jelas.
Baterinya menawarkan tempoh main balik muzik sehingga sembilan jam dengan sekali pengecasan atau sehingga 38 jam bersama bekas pengecas. Ciri lain termasuk pengesanan pemakaian automatik, Audio Switching dan Audio Sharing untuk peranti Xiaomi yang disokong.

Xiaomi Clip turut menyokong Apple Find My untuk mencari bekas pengecas, tetapi bukan fon telinga secara individu. Ia mempunyai penarafan IP57 untuk ketahanan habuk dan air, yang hanya terpakai pada fon telinga dan bukan bekas pengecas.
Fon telinga ini ditawarkan dalam warna Sand Gold, Pearl White, Graphite Black dan Frost Purple.
Harga dan Ketersediaan
Ketiga-tiga produk baharu ini kini boleh didapati di Malaysia menerusi laman rasmi mi.com, kedai Xiaomi di seluruh negara, kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop serta pengedar sah.
- Xiaomi Watch S5 41mm (Black / Light Blue): RM899 (harga promosi RM799)
- Xiaomi Watch S5 41mm (Ceramic White): RM999 (harga promosi RM899)
- Xiaomi Smart Band 11 Standard (Midnight Black / Glacier Silver / Mystic Rose): RM249 (harga promosi RM199)
- Xiaomi Smart Band 11 Standard (Moon Gold): RM249 (harga promosi RM229)
- Xiaomi Smart Band 11 NFC: RM349 (harga promosi RM299)
- Xiaomi Clip: RM699 (harga promosi RM599)
