Kerajaan memperketat penelitian terhadap keperluan bekalan elektrik dan air bagi pembangunan pusat data di Malaysia menerusi penubuhan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), bagi memastikan pertumbuhan industri berkenaan tidak menjejaskan kelestarian bekalan sumber asas negara.
Memetik laporan Berita RTM, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah penting itu diambil susulan peningkatan pelaburan dalam sektor pusat data yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap kedua-dua sumber berkenaan, sekali gus memerlukan perancangan lebih teliti.
“Justeru, kita telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang dikenali sebagai Data Center Task Force (DCTF), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Digital. Pasukan ini akan turut melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), agensi pembekalan air serta kerajaan negeri bagi meneliti secara menyeluruh proses permohonan dan kelulusan pembangunan pusat data,” katanya.
Menerusi DCTF, kerajaan akan mengenal pasti jumlah pusat data yang sudah beroperasi, sedang dibangunkan serta projek pelaburan baharu yang bakal direalisasikan. Maklumat ini penting untuk mengunjurkan keperluan bekalan elektrik dan air apabila lebih banyak pusat data dibangunkan di negara ini.
Dengan penilaian tersebut, kerajaan dapat membuat persediaan lebih awal dan memastikan setiap kelulusan pembangunan pusat data mengambil kira kemampuan infrastruktur serta kecukupan sumber yang diperlukan.
Gobind menjelaskan setakat ini bekalan elektrik dan air bagi memenuhi keperluan pusat data masih mencukupi dan tidak berdepan masalah.
Namun, peningkatan permintaan pada masa hadapan memerlukan kerajaan menilai risiko serta kapasiti bekalan untuk jangka panjang bagi memastikan pembangunan industri pusat data dapat diteruskan tanpa menjejaskan kelestarian sumber asas negara.
