Kerajaan akan meneliti kesesuaian untuk memperluas pelaksanaan pengesahan identiti secara elektronik (eKYC) dan pengesahan umur kepada platform permainan dalam talian seperti Roblox.
Memetik laporan Bernama, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk penglibatan pengguna bawah umur serta risiko platform berkenaan disalahgunakan oleh kumpulan pelampau, ekstremis dan pihak yang terlibat dalam keganasan.
“Dalam sesi perbincangan saya dengan pihak Roblox, sebagai contoh, sejak tahun lepas menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama… isu mungkin hanya dari segi pengesahan pengguna dan umur pengguna… Jadi, kita akan teliti kesesuaian untuk mengembangkan aspek eKYC dan pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu berkenaan yang turut merangkumi kanak-kanak bawah umur.
Fahmi turut menjelaskan bahawa kerajaan, termasuk melalui Majlis Keselamatan Negara, menjalankan pemantauan berterusan terhadap platform yang mungkin disalah guna oleh kumpulan terbabit.
Sekiranya tindakan lanjut diperlukan, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita akan ambil kira pelbagai aspek tetapi sekiranya ada tindakan pantas yang perlu dilaksanakan, itu sudah pasti akan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata beliau akan membincangkan pendekatan pelaksanaan sekatan umur bagi pengguna media sosial bersama rakan sejawatnya di Indonesia semasa lawatan kerja ke negara itu.
Beliau dijadualkan menghadiri Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) 2026 serta mengadakan beberapa siri pertemuan, termasuk dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap komunikasi dan digital serta kebudayaan.
