Kerajaan Negeri Selangor akan menawarkan akses Gemini Enterprise selama setahun kepada 50,000 rakyat negeri itu menerusi inisiatif AI Untuk Rakyat yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2027.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi inisiatif tersebut, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Google.
Selain akses kepada platform AI itu, peserta turut akan menerima pakej latihan secara dalam talian dan bersemuka.
Menurut Amirudin, latihan tersebut akan melengkapkan peserta dengan kemahiran membangunkan sistem AI berasaskan autonomi (agentic AI) bagi meningkatkan produktiviti serta memudahkan urusan harian.
Peserta yang disasarkan datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, mahasiswa, usahawan, petani, pengusaha syarikat pemula dan warga emas.
Bagaimanapun, syarat kelayakan, tarikh permohonan dibuka dan cara 50,000 penerima akan dipilih masih belum diumumkan.
