Kerajaan sedang memperincikan pendekatan baharu untuk memastikan tarif elektrik lebih adil dan bersesuaian dengan keadaan semasa pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut laporan Bernama, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Suruhanjaya Tenaga akan menjalankan kajian terperinci pada tahun depan untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
“Antara pendekatan yang ingin diperkenalkan ialah user-pay basis, iaitu mereka yang menggunakan lebih banyak tenaga, khususnya pusat data dan industri akan dikenakan kadar berbeza daripada pengguna domestik. Ini bertujuan memastikan kadar tarif lebih adil kepada pengguna, khususnya dalam melindungi pengguna domestik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai perancangan kerajaan untuk mengkaji semula mekanisme pengecualian caj elektrik kepada 800 kilowatt-jam (kWj) selepas 31 Disember 2026.
Fadillah berkata walaupun kos penjanaan elektrik meningkat mendadak susulan krisis di Asia Barat, kerajaan memberi jaminan bahawa pengguna domestik dengan penggunaan di bawah 600 kWj dilindungi daripada kenaikan kos berkenaan sebelum had itu dinaikkan kepada 800 kWj ketika ini.
Selain merangka pendekatan baharu, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap. Antaranya termasuk Skim Masa Penggunaan (ToU) yang menawarkan kadar lebih rendah pada waktu tertentu.
Kerajaan juga menyediakan rebat bil elektrik RM40 kepada ketua isi rumah miskin tegar, dengan peruntukan RM55 juta bagi 2026.
Bagi pemasangan sistem solar di rumah pula, program SuRIA Home menyediakan rebat RM600 bagi setiap kilowatt arus ulang-alik (kWac), sehingga maksimum RM3,000 untuk sistem berkapasiti lima kWac.
Sementara itu, program NUR MADANI menawarkan rebat RM200 kepada individu yang membeli penyaman udara cekap tenaga dan peti sejuk bertaraf empat atau lima bintang.
“Terdapat banyak pendekatan yang dilaksanakan tetapi yang lebih utama, kita sedang memperincikan pendekatan baharu tahun depan untuk memastikan tarif (elektrik) akan lebih berdasarkan penggunaan (iaitu) domestik lain dan industri lain, yang menggunakan lebih banyak tenaga (maknanya) pendekatan berlainan. Ini diharapkan lebih adil dan sesuai dengan apa yang bakal kita hadapi pada tahun mendatang,” katanya.
