Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju mengembalikan perkhidmatan urusan Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian dengan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan itu dicapai selepas beliau berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
“JPJ telah memaklumkan kepada MOT berkenaan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ,” katanya melalui catatan di Facebook hari ini.

Loke menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan di kaunter JPJ.
“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan online serta-merta dan sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang hujung minggu ini,” tambahnya.
Penangguhan sementara urusan THM dalam talian yang diumumkan JPJ bermula 25 Mei 2026 telah menimbulkan kekeliruan dan aduan di kalangan orang ramai.
{suggest}
