Apple secara rasmi hari ini memperkenalkan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, yang kelihatan seperti model iPhone 17 Pro tetapi hadir dengan sejumlah peningkatan pada kamera, prestasi, bateri dan ciri kecerdasan buatan.

Antara perubahan utama ialah kamera utama 48MP Fusion yang kini mempunyai apertur boleh ubah (variable aperture), menjadikannya kali pertama iPhone menawarkan kawalan apertur pada kamera utama.
Kamera ini menggunakan enam bilah yang boleh berubah antara tetapan apertur berbeza untuk melaraskan depth of field dan pencahayaan. Pengguna juga boleh memilih daripada empat tetapan apertur secara manual melalui aplikasi Camera, selain ciriĀ Pro controls yang memberikan lebih banyak kawalan terhadap kamera.
Keupayaan video turut dipertingkatkan. Pengguna kini boleh menggunakan kesan Cinematic selepas rakaman untuk video sehingga 60fps, manakala mod Time-lapse menyokong rakaman 4K dan Dolby Vision HDR. Audio Mix pula menggunakan algoritma baharu untuk menghasilkan suara berkualiti lebih tinggi serta mengasingkan muzik.
Pengguna kini boleh membuktikan ketulenan foto yang diambil menggunakan model iPhone 18 Pro dengan Apple Reference Image, yang dikuasakan oleh sensor baharu pada kamera Utama yang boleh menandatangani setiap piksel yang dilihatnya.

Bagi prestasi, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max menggunakan cip A20 Pro yang dibina menggunakan proses 2nm. Apple menyatakan cip ini mempunyai lebar jalur memori 50% lebih tinggi berbanding A19 Pro, manakala GPU 7-terasnya sehingga 40% lebih pantas.
A20 Pro turut dilengkapi Dual 16-core Neural Engine baharu dengan jumlah 32-teras untuk pemprosesan AI. Apple menyatakan peningkatan ini menyokong tugasan AI pada peranti, fotografi berkomputer dan permainan yang lebih mencabar.
Prestasinya pula ditingkatkan melalui sistem pengurusan haba baharu. iPhone 18 Pro menggunakan vapor chamber generasi baharu dengan kawasan permukaan tiga kali lebih besar berbanding generasi sebelumnya pada iPhone 17 Pro. Apple menyatakan sistem ini membolehkan prestasinya meningkat sehingga 40%.
Dari segi sambungan, kedua-dua model dilengkapi cip N1 yang menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6 dan Thread. iPhone 18 Pro turut menggunakan modem selular generasi baharu C2 yang menurut Apple menawarkan muat naik lebih pantas berbanding C1X sambil menggunakan tenaga 15% lebih rendah.

Untuk bateri, Apple menyatakan model eSIM sahaja menawarkan sehingga 36 jam main balik video pada iPhone 18 Pro dan sehingga 45 jam pada iPhone 18 Pro Max. iPhone 18 Pro juga boleh mencapai 50% pengecasan dalam kira-kira 15 minit secara berwayar atau 30 minit secara tanpa wayar.
Dynamic Island turut direka semula dan kini boleh memaparkan sehingga tiga Live Activities pada masa yang sama, sambil mengekalkan fungsi Face ID untuk membuka kunci peranti, mengesahkan pembelian dan log masuk ke aplikasi.

Kedua-dua model menjalankan iOS 27 dan hadir dengan Apple Intelligence serta Siri AI dalam versi beta. Siri AI direka untuk memahami konteks peribadi pengguna dan boleh membantu mencari maklumat merentasi mesej, e-mel dan foto.
Antara ciri lain yang berkaitan Apple Intelligence termasuk Spatial Reframing, Extend dan Clean Up yang dinaik taraf dalam aplikasi Photos. Image Playground pula kini boleh menghasilkan imej fotorealistik.
Harga dan ketersediaan

iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max akan tersedia dalam kapasiti storan 256GB, 512GB, 1TB dan 2TB. Ditawarkan dalam pilihan warna Burgundy, Glacier, Silver dan Black, iPhone 18 Pro bermula pada harga RM5,499, manakala iPhone 18 Pro Max bermula pada RM5,999. Pelan bayaran bulanan tanpa faedah untuk tempoh sehingga 24 bulan turut disediakan.
Di Malaysia, prapesan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max dibuka bermula 8.00 malam pada Sabtu, 12 September, manakala jualan rasmi bermula Jumaat, 18 September.
{suggest}






