Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

iPhone 17 Pro Rasmi – ‘Vapor Chamber’, 8x Zum, Storan Sehingga 2TB, Harga Bermula RM5499

Posted on September 10, 2025September 10, 2025

Seiring pelancaran iPhone 17 dan iPhone Air, Apple kini memperkenalkan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max dengan rekaan baharu serta peningkatan prestasi.

iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max masing-masing dilengkapi skrin 6.3-inci dan 6.9-inci dengan kecerahan maksimum 3000nit, serta binaan aloi aluminium.

Peranti ini juga hadir dengan perlindungan Ceramic Shield 2, dan buat pertama kali Ceramic Shield turut melindungi bahagian belakang, menawarkan ketahanan terhadap retakan sehingga 4 kali lebih baik.

Kedua-dua model ini dikuasakan cip A19 Pro dengan 6-teras CPU, 6-teras GPU dan 16-teras Neural Engine. Storan yang ditawarkan bermula 256GB hingga 2TB (untuk iPhone 17 Pro Max).

Barisan iPhone 17 juga memperkenalkan N1, cip rangkaian wayarles yang direka sendiri oleh Apple, menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6, dan Thread. Selain membolehkan teknologi tanpa wayar terkini, N1 turut meningkatkan prestasi dan ciri seperti Personal Hotspot dan AirDrop.

Seperti diperkatakan sebelum ini, reka bentuk dalaman iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max dimuatkan teknologi ‘vapor chamber’ yang direka sendiri oleh Apple untuk meningkatkan sistem penyejukan dan prestasi.

Untuk kemampuan fotografi, iPhone 17 Pro kini dilengkapi sistem tiga kamera 48MP Fusion, masing-masing untuk kamera utama, ultra lebar dan telefoto yang menyokong sehingga 8x zum optik.

Kamera telefoto menampilkan reka bentuk tetraprism generasi baharu dengan sensor 56% lebih besar berbanding generasi sebelumnya. Zoom digital kini meningkat sehingga 40x untuk foto.

Sementara itu, kamera hadapan dimuatkan 18MP Center Stage, yang menyokong rakaman video 4K HDR dengan stabil. Ciri Dual Capture membolehkan pengguna merakam menggunakan kamera hadapan dan belakang serentak.

Selain menyokong rakaman Dolby Vision HDR, 4K120fps, ProRes Log dan ACES, iPhone 17 Pro dan Pro Max kini turut menambah sokongan ProRes RAW, Log 2 serta genlock.

Kedua-dua model menyokong pengecasan pantas, yang menurut Apple mampu mengecas sehingga 50% dalam 20 minit menggunakan adapter USB-C seperti Apple 40W Dynamic Power Adapter dengan kapasiti maksimum 60W.

Tiga pilihan warna tersedia iaitu Silver, Cosmic Orange dan Deep Blue.

Harga dan ketersediaan

iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM5,499 dan RM5,999 bagi storan asas 256GB. Prapesan akan dibuka bermula 12 September, jam 8.00 malam, dengan ketersediaan mulai 19 September 2025.

Bagi melihat senarai penuh harga iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max, teruskan bacaan selanjutnya di SINI.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress